KUALA LUMPUR – Perbandingan indeks kadar jenayah di sekitar kawasan Tesco Extra, Taman Midah bagi 2017 dan 2018 mencatatkan penurunan sebanyak 68 peratus.
Penurunan itu, sekali gus menunjukkan keberkesanan serta komitmen pihak berkuasa itu menjalankan tugas demi keselamatan warga kota.
Lebih membanggakan, pasukan polis Kuala Lumpur juga mengurangkan lebih separuh kadar jenayah curi dalam bangunan iaitu sebanyak lapan kes sahaja pada tahun lalu berbanding 25 kes pada tahun 2017.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius terhadap keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di ibu negara.
“Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak empat program High Profile Policing anjuran polis Kuala Lumpur telah diadakan di sekitar ibu negara.
“Program ini bertujuan mendidik komuniti supaya memainkan peranan dalam membanteras jenayah selain menjadi mata dan telinga kepada pihak polis,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Tesco Extra Taman Midah di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, program tersebut juga memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap trend jenayah terkini dengan mengedarkan risalah pencegahan jenayah, Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan sistem semakan online.
“Polis juga komited bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengadakan operasi bersepadu untuk membanteras jenayah ini.
“Tindakan yang diambil bukan sahaja untuk menurunkan kadar jenayah tetapi juga mengurangkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat terhadap kegiatan jenayah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










