Tiada angin tiada ribut, penyanyi Man Bai tiba-tiba meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan sistem pengurusan panggung berprestij, Istana Budaya yang disifatkan sebagai pilih bulu dan tidak sistematik.
Menceritakan perihal yang memuncakkan ketidakpuasan hatinya, Mai Bai atau nama sebenar, Abd. Rahman Osman, 51, berkata, hasratnya untuk mengadakan konsert bersama Rahim Maarof pada 22 dan 23 Disember tahun lalu di Istana Budaya tidak kesampaian kerana sistem pengurusan panggung tersebut yang tidak efisien.
Terdahulu, pelantun lagu Kau Ilhamku itu, sudah menghantar kertas kerja iaitu pada Oktober tahun lalu namun sukar mendapat jawapan balas daripada pengurusan Istana Budaya termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Disebabkan kerumitan tersebut, penganjuran Konsert 2V Man Bai dan Rahim Maarof anjuran Lollipop Living yang dirancangkan berlangsung pada 6 April depan terpaksa diadakan di Dewan Tunku Abd. Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic).
Kecewa dengan situasi berkenaan, Man Bai menyeru agar pihak Istana Budaya menukar cara kerja dan tidak berat sebelah dalam memberikan ruang kepada anak seni untuk mementaskan hasil kerja di pusat kesenian berkenaan.
Lantaran tidak dilayan sewajarnya, Man Bai bertekad, tidak akan menjejakkan kaki di panggung berkenaan selagi cara kerja pihak terbabit masih berada di takuk lama dan ditunjangi individu yang tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawab.
Kosmo!: Boleh ceritakan situasi sebenar anda dan pihak pengurusan Istana Budaya?
Man Bai: Saya kecewa dengan cara mereka bekerja. Kertas kerja sudah dihantar dan sepatutnya saya mendapat keputusan selepas dua minggu. Malangnya, apabila saya menghubungi mereka, banyak alasan diberikan. Saya terkejut apabila Konsert Duo Lagenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir yang memperoleh slot tersebut, sedangkan pada mulanya mereka kata, memang ada slot kosong untuk saya mengadakan persembahan pada 22 dan 23 Disember tahun lalu.
Bilakah anda menghantar kertas kerja untuk mengadakan konsert di Istana Budaya?
Sekitar bulan Oktober atau November tahun lalu. Saya tiada masalah dengan Jamal atau M. Nasir kerana saya sendiri pernah bekerja dengan mereka. Saya cuma tidak berpuas hati dengan cara orang Istana Budaya bekerja.
Memang tiada tempat atau bagaimana untuk artis seperti saya dan Rahim untuk mengadakan persembahan di situ?
Bagilah kami peluang, takkan asyik orang sama diberi keistimewaan mengadakan konsert di sana. Kena berhenti mengamalkan sistem sebegitu, kalau tidak memang tidak berkembang dan hancur industri seni kita.
Kedengarannya seperti anda betul-betul kecewa dan merajuk dengan apa yang berlaku?
Ya, memang benar saya merajuk dan sungguh kecewa. Selagi sistem pengurusan Istana Budaya masih di takuk lama, saya memang tidak akan menjejakkan kaki ke situ.
Kerja perlulah profesional dan jangan pilih bulu. Saya hanya akan jejakkan kaki ke sana kalau sistem pengurusan tidak lagi berat sebelah dan telus dalam semua hal.
Ada anda cuba menghubungi Juhari untuk membincangkan perkara ini atau hanya berurusan dengan pegawai bawahannya?
Tidak, saya cuma bercakap dengan orang bawahan atau pembantunya. Dua bulan saya tunggu tidak dapat sebarang respons.
Respons yang saya terima hanyalah apabila mereka memberitahu slot sepatutnya sudah diberikan kepada orang lain. Sikap beri ‘tender’ kepada kawan baik atau yang berasaskan wang sepatutnya sudah tidak sepatutnya wujud lagi. Tolonglah tukar cara bekerja untuk kemajuan bersama.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari melalui pesanan WhatsApp kepada Kosmo! menafikan tuduhan penyanyi tersebut. Katanya, permohonan Man Bai untuk mengadakan konsert di Istana Budaya tidak lengkap dan lewat.
“Memang ada, namun permohonan yang dibuatnya sekitar Ogos 2018 tidak lengkap. Kebiasaannya, untuk mengadakan persembahan pada tahun yang sama sudah dikira lewat kerana Istana Budaya menerima permohonan setahun awal. Seperti semua sedia maklum, kami sentiasa melancarkan program sepanjang tahun pada setiap awal tahun,” terang Mohamed Juhari.
Disebabkan itu, permohonan pihak Man Bai untuk mendapat slot telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan.
“Bagaimanapun, Istana Budaya sentiasa membentangkan permohonan baharu bersama jawatankuasa untuk menilai kertas kerja yang diterima.
“Namun tarikh yang dimohon pihak Man Bai telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan,” ujarnya lagi.











