LANGKAWI 27 Mac – Sebuah kilang pengeluaran pesawat tanpa pemandu (UAV) yang pertama di negara ini bakal direalisasikan tidak lama lagi.
Kilang milik bumiputera syarikat Malvus Sense Sdn. Bhd. (Malvus Sense) itu dijangka dibangunkan di Nilai, Negeri Sembilan dengan kos dianggarkan RM2 juta.
Menurut Pengarah Urusannya, Syed Omar Syed Mohamad, jika siap kelak tahun depan, kilang itu nanti mampu mengeluarkan sebanyak 12 unit UAV sebulan.
“Kilang ini adalah hasil usahasama antara Malvus Sense dengan sebuah syarikat dari China, Chengdu JOUAV Da Peng Tech. Co. Ltd.
“Pengeluaran sulung lima unit pertama UAV M007 yang sudah pun ditempah pihak swasta berharga RM140,000 setiap unit itu, dijangka dilakukan pada Jun tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘19) di sini, hari ini.
Tambah Syed Omar, syarikatnya yang mempunyai lebih 50 orang pekerja, telah berpengalaman dalam menawarkan khidmat nasihat dan perkhidmatan bidang UAV sejak 2016.
Katanya, antaranya melakukan pemetaan jalan-jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah-Sarawak.
“Selain itu menjalankan pemetaan untuk laluan paip gas antara Kimanis, Sabah sehingga Bintulu, Sarawak di bawah Petroliam Nasional Berhad (Petronas),” katanya.
Tambah beliau, selain untuk pemetaan, syarikatnya juga menawarkan UAV berteknologi tinggi yang mampu digunakan bagi tujuan pemantauan keselamatan khususnya di sempadan.
“Menerusi UAV pelbagai guna ini, pemantauan boleh dilakukan untuk mengesan manusia dan kenderaan di kawasan yang sukar dimasuki.
“Malah UAV itu juga mampu menjejak dan mengekori manusia dan kenderaan menerusi hanya kawalan di bawah (tempat pelepasan),” katanya lagi.
Kata beliau, UAV yang ditawarkan adalah mengikut pelbagai jenis kegunaan berharga antara RM140,000 sehingga jutaan ringgit yang mampu membawa kamera optikal, inframerah, laser dan pengesan objek sekali gus.
Katanya, setiap UAV mampu terbang antara satu hingga lapan jam dengan menggunakan bateri atau gabungan bateri dan petrol. – UTUSAN ONLINE











