KUALA LUMPUR 5 Mac – Malaysia gagal meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Bola Sepak Wanita Jepun-ASEAN Jenesys Bawah 19 (B-19) selepas tumpas 0-2 kepada pasukan Remaja Vicsale Okinawa FC Nabiita pada saingan ketiga Kumpulan B di Okinawa, hari ini.
Dalam perlawanan di Padang Perkampungan Olahraga Yomitan itu, penjaga gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-26 sebelum Makise Tamashiro menggandakan jaringan pada minit ke-55.
Malaysia sebelum ini 0-0 berdepan Laos dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu sebelum menewaskan Kemboja 3-0 kelmarin.
Skuad muda negara akan berdepan Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Zanpa Point Ball Park, esok.
Sepuluh pasukan bersaing pada kejohanan tahunan itu yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dengan kerjasama Kementerian Luar Jepun, bertujuan mempromosi program pertukaran belia antara Jepun dan negara ASEAN.
Pasukan dari Jepun adalah skuad wanita B-19, Pasukan Sekolah Tinggi Okinawa Prefecture dan Remaja Vicsale Okinawa FC Nabiita, manakala pasukan ASEAN menyaksikan penyertaan Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Laos, Singapura dan Malaysia. – BERNAMA











