KUALA LUMPUR 31 Mac – Malang tidak berbau, itu yang berlaku kepada jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian apabila berdepan kecederaan ketika hampir meraih kemenangan dalam aksi Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, hari ini.
Ketika kejadian Rayzam Shah sedang mendahului larian namun terjatuh ketika cuba melepasi pagar terakhir sekali gus menyebabkan dia sekadar menamatkan aksi di tempat keempat dengan catatan masa 15.25 saat.
Selepas tamat aksi, Rayzam Shah dilihat menahan kesakitan sambil memegang pergelangan tangan kanannya yang terkulai ketika melangkah keluar dari trek.
Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas berkata, pihaknya masih tidak pasti tahap kecederaan dialami Rayzam Shah selagi belum mendapat keputusan rawatan perubatan.
“Nampak seperti ada kecederaan namun tidak tahu sama ada patah atau sebaliknya kerana kita harus tunggu laporan daripada hasil imbasan x-ray yang bakal dijalankan nanti.
“Jika disahkan mengalami kecederaan serius mungkin akan menimbulkan sedikit kebimbangan buat kami kerana nama Rayzam Shah ada dalam senarai ke Kejohanan Asia di Doha, April ini,” kata Zainal.
Selepas kejadian, Rayzam Shah dibawa menaiki ambulans ke Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjutan dan melakukan x-ray.- UTUSAN ONLINE











