PARMA 27 Mac – Fabio Quagliarella menegaskan bahawa dia sama sekali tidak merasakan sudah mencapai usia 36 tahun selepas pemain veteran itu menjadi pemain tertua Itali menjaringkan gol ketika pasukan itu menundukkan Liechtenstein yang beraksi dengan 10 pemain dengan keputusan 6-0.
Quagliarella yang merupakan penyerang Sampdoria merupakan penjaring terbanyak Serie A, musim ini dengan 21 gol berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti buat pasukan kendalian Roberto Mancini dalam aksi kelayakan Euro 2020.
Aksi tersebut merupakan penampilan pertama pemain veteran itu buat Itali sejak aksi kelayakan Piala Dunia menentang Cyprus pada Oktober 2009 dan merupakan kali pertama dia berada dalam kesebelasan utama Azzurri sejak aksi persahabatan menentang Switzerland pada 2010.
Quagliarella mengucapkan terima kasih kepada Mancini, rakan sepasukannya dan penyokong yang berdiri memberikan penghormatan kepadanya semasa dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 18 minit.
“Saya berusia 36 tahun tetapi saya tidak merasakannya! Malam ini sangat indah dengan kehadiran dua gol.
“Saya tidak beraksi buat skuad kebangsaan agak lama, jadi apabila beraksi dan membantu pasukan, perasaan itu sangat indah.
“Saya rasa sangat hebat dari segi fizikal, saya sentiasa tenang dan menjalani latihan berterusan kerana itu asas paling penting.
“Sampdoria meletakkan saya di posisi yang sangat baik.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Mancini kerana memberikan saya peluang. Terima kasih kepada Jorginho dan Leonardo Bonucci kerana memberi saya peluang mengambil penalti walaupun kedua-dua mereka sepatutnya mengambil sepakan itu.
“Selepas sepakan pertama, saya pasti sepakan kedua akan diambil salah seorang daripada mereka tetapi mereka menyatakan bahawa malam ini adalah malam saya,” katanya.-AGENSI











