Makhluk bermata merah - Utusan Malaysia

Makhluk bermata merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarkah kawasan Pagoh-Tangkak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhantu? Maksudnya, ada `sesuatu’ yang menanti anda di lokasi berkenaan. Di bawah ini dikongsikan beberapa kisah yang disampaikan kepada saya.

Cerita pertama di R&R Tangkak, berlaku kepada seorang pemuda bernama Firdaus.

Begini ceritanya. Hari Jumaat, waktu itu sudah lewat petang. Hujan semakin lebat. Jaket, kemeja-T dan seluar sudah habis lenjun. Air pada cermin topi keledar menyukarkan pandangan. Firdaus perlu memperlahankan motosikalnya. Jalan licin, dia bimbang kemalangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setengah jam lagi senja berlabuh. Tapi awan yang menutup dan hujan yang turun lebat menyebabkan suasana petang itu lebih gelap daripada biasa. Malangnya, hanya selepas dua kilometer meredah hujan, barulah Firdaus sampai di R&R Tangkak.

Firdaus menghentikan motosikalnya di situ dan berteduh di pondok. Hanya dia seorang saja di R&R tersebut. Sambil mengelap badan dan memerah jaket serta kemeja-Tnya yang basah kuyup, Firdaus terfikir, kalaulah dia keluar awal, mungkin dia tidak perlu meredah hujan. Bayangkan, kampungnya di Pontian, ada lebih kurang tiga jam lagi perjalanan. Kalau terus hujan begini, pukul berapa dia hendak sampai ke kampung?

Ketika Firdaus memerah bajunya, sebuah van buruk berwarna putih sampai dan berhenti di hadapan pondok tempatnya berteduh. Mungkin pemandunya hendak berehat sebentar. Mungkin dia penat, mungkin mengantuk, mungkin van buruknya rosak, fikir Firdaus.

Dia menunggu pemandu dan penumpang van tersebut keluar, ada juga kawan untuk berbual. Tapi lama menunggu, tiada sesiapa turun dari van buruk putih.

Ketika itulah baru Firdaus perasan ada perkara pelik pada van tersebut. Ya, ada sesuatu yang tidak kena. Kerusi hadapan dan belakang van berkenaan kosong. Tidak ada sesiapa!

Tapi betulkah? Takkanlah van itu bergerak tanpa pemandu?

Firdaus tutup kepalanya dengan jaket dan berlari pergi ke arah van tersebut, kemudian menjengah ke dalam. Sah, memang tiada sesiapa di kerusi pemandu dan penumpang hadapan. Firdaus jengah pula ke kerusi belakang. Sekali lagi dia terkejut. Tiada sesiapa.

Nah, kalau begitu, siapa yang memandu van putih ini? Mereka sudah turun, tapi Firdaus tidak perasan? Mustahil. Jarak mereka hanya beberapa meter saja. Kalau pemandu dan penumpang itu turun pun, pasti mereka akan berteduh di pondok tempat Firdaus berlindung.

Firdaus melihat sekeliling. Memang hanya ada dia seorang saja di R&R itu!

Tanpa sempat menyarung kembali kemeja-T, Firdaus berlari ke motosikalnya dan terus hidupkan enjin. Dia lebih rela meredah hujan lebat dalam keadaan berlenggeng, basah kuyup dan menggigil kesejukan daripada berada bersama makhluk yang tidak dapat dilihat, lebih-lebih lagi pada waktu senja begini.

Sejurus meninggalkan pondok itu, Firdaus teringat van putih. Dia memandang cermin sisi, memperlahankan motosikal dan memandang ke belakang. Van buruk berwarna putih itu sudah tiada. Lenyap dalam sekelip mata.

(Kisah ini diceritakan oleh seorang kenalan saya, Khadijah, yang tinggal di Segamat, Johor. Kata Khadijah, Firdaus adalah kawan sepejabatnya dan kejadian ini berlaku pada 2001.)

SUARA BERBISIK

Cerita Firdaus itu mengingatkan saya kepada kisah yang saya tulis di ruangan ini beberapa tahun lalu. Cerita itu berlaku pada lewat malam semasa seorang pemandu bas ekspres bernama Haziq dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Seremban.

Ketika sampai di simpang Pagoh, tiba-tiba lampu pintu basnya menyala sendiri. Anehnya, pintu itu tidak terbuka. Tidak lama kemudian Khairi dengar suara di dalam bas berkenaan sedang berbual. Bunyinya seperti ada ramai penumpang sedang berbual, sedangkan bas yang dipandu Haziq itu sebenarnya kosong!

Tidak jauh selepas melepasi susur keluar Tangkak, berlaku satu lagi kejadian misteri. Tiba-tiba ada angin menampar badan Haziq, kemudian datang suatu suara berbisik di telinganya menyebut… “Hentian Linggi…”

Lampu di dalam bas itu terpadam sendiri apabila sampai di Linggi. Suara siapa yang Haziq dengar itu.

PEMUDA

Kisah kedua. Berlaku kepada seorang kenalan, bernama Abdul Halim, yang tinggal di Majidee, Johor Baharu. Pukul 3 pagi, Halim sedang memandu lori tangki minyak dari depoh tempatnya bekerja di Johor Bahru menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Hanya dia seorang saja malam itu kerana kelindannya, Khairul bercuti mengejut.

Cerita Halim, beberapa kilometer sebelum sampai susur keluar Pagoh, lampu lorinya menyuluh suatu pemandangan yang sangat pelik, iaitu sekumpulan anak-anak muda sedang bermain bola sepak di tengah lebuh raya!

Gila! Mana ada orang bermain di dalam gelap. Tiada ada sebatang pun lampu lampu dipasang di situ.

Apa yang dilakukan oleh Halim? Nanti saya ceritakan kemudian.

Seorang lagi kenalan saya, Khalid, juga pernah melalui pengalaman menyeramkan. Kata Khalid, beberapa tahun lalu tayar keretanya bocor berhampiran susur keluar ke Pagoh. Waktu itu pukul 1.30 pagi, Khalid bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan dari rumah bapa angkatnya di Kedah, ke rumah mereka di Johor Baharu.

Ketika sedang membuka tayar kereta yang bocor tadi, Khalid melihat ada dua cahaya merah terapung-apung di udara. Jauh dan tinggi. Cahaya lampu pencawang elektrik agaknya, begitu fikir Khalid.

Namun Khalid terkejut, kedua-dua cahaya merah itu tiba-tiba bergerak mendekatinya. Rupa-rupanya ia adalah sepasang mata, sedang merenung tajam ke arah dia sekeluarga!

Waktu itu Khalid teringat pesan kawannya. Dia segera membuka seluar dan membuang air kecil menghala ke arah makhluk bermata merah itu. Benarlah pesan kawannya. Apabila Khalid buat begitu, makhluk tersebut terus menjauh dan akhirnya hilang.

Khalid sudah selamat? Tidak. Ketika dia memasang tayar gantian, cahaya merah itu datang semula. Ia berhenti beberapa puluh meter saja darinya.

Nak kencing macam mana, air kencing pun sudah habis. Khalid segera melaungkan azan. Makhluk bermata merah itu melayang semula naik ke langit dan terus ghaib.

KAMPUNG

Sebenarnya cukup banyak kisah misteri di kedua-dua lokasi tadi, lebih-lebih lagi di Pagoh. Untuk pengetahuan anda, ada pengguna lebuh raya itu yang melihat hutan berhampiran Pagoh dipenuhi dengan perkampungan yang sungguh cantik. Rumahnya terang-benderang seolah-olah ada majlis keramaian. Ada juga yang terhidu bau masakan ketika lalu di kawasan tersebut.

Selain itu, saya juga pernah diberitahu bawa ada pemandu yang melihat sekumpulan penduduk mengusung keranda melintasi lebuh raya menuju ke kawasan hutan berdekatan, seperti mengiringi jenazah ke perkuburan.

Ada juga yang mendakwa melihat lembaga hitam tiba-tiba melintas jalan pada waktu tengah hari. Makhluk yang saiz tubuhnya dua kali ganda tubuh manusia itu muncul dalam sekelip mata dan amat pantas. Sama seperti di atas, kemunculan lembaga ini menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan dan berlaku kemalangan.

Khabarnya juga, ada kenderaan yang ditumpangi makhluk-makhluk menakutkan ketika mereka melalui Pagoh dan Tangkak. Kereta mereka menjadi berat dan dipenuhi bau yang amat busuk.

Oleh kerana itu, anda jangan berasa pelik kalau mendapat tahu banyak kemalangan berlaku di lokasi ini. Kata mereka, berhati-hatilah apabila melaluinya pada waktu tengahari, senja dan lewat malam.

Oh ya, apa yang berlaku selepas Halim melanggar anak-anak muda yang bermain bola di tengah lebuh raya Pagoh? Tiada apa-apa yang berlaku, seperti lorinya melanggar kabus.

Ada sesiapa di kalangan anda yang pernah mengalami kejadian misteri di lokasi Pagoh – Tangkak? Atau anda mengalaminya di lokasi lain? Kalau ada, kongsikannya di e-mel saya [email protected] atau [email protected].

Jumpa lagi minggu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini