Lima sekeluarga maut - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB 28 Mac – Kegembiraan lima sekeluarga yang berhasrat menghadiri majlis perkahwinan berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka maut dalam kemalangan dengan sebuah bas eks­pres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Jeram Besu di sini, hari ini.

Dalam kemalangan tersebut, bas yang membawa 45 penum­pang itu turut merempuh sebuah kedai makan di Jeram Besu manakala kereta berkenaan tercampak ke dalam longkang.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.54 pagi itu adalah pemandu kereta, Mohd. Sajury Abdullah, 63, isterinya, Sobariah Haron, 64; anak saudaranya, Mohamad Faezuan Nor Izuddin, 27; cucu saudaranya, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, dan anak angkatnya, Uwais AlQurney Abdullah, 6.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kese­mua mangsa dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan anak sau­dara pasangan suami isteri ber­kenaan iaitu Lina Amira Izuddin yang juga adik kepada salah seorang mang­sa, Mohamad Faezuan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

‘‘Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres.

‘‘Akibat kejadian itu, pemandu dan empat penumpang kereta berkenaan mening­gal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang bas cedera ringan,’’ katanya.

Tambahnya, pemandu bas termasuk pemandu tambahan serta 44 penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu tidak mengalami kecederaan.

Wan Mohd. Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati kawasan kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik.

Sementara itu, pemilik gerai makan Jeram Besu, Amran Mohamed, 55, berkata, semasa kejadian dia berada di rumah dan tidak berniaga kerana majlis perkahwinan anak perempuannya akan berlangsung esok.

‘‘Saya terkejut dengan kejadian ini, saya bercuti (tidak berniaga) lebih seminggu kerana perkahwinan anak perempuan saya esok tetapi lepas kejadian saya tidak dapat menyambung perniagaan yang menjadi punca rezeki sejak lebih 20 tahun lalu,’’ ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini