Lima pengedar dadah diberkas, rampas dadah RM1.5juta - Utusan Malaysia

Lima pengedar dadah diberkas, rampas dadah RM1.5juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kegiatan lima pengedar dadah termasuk tukang masak menjadikan rumah teres dua tingkat di Brickfields, Kuala Lumpur sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas kediaman itu diserbu pihak berkuasa, kelmarin. 

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, kesemua suspek yang ditahan termasuk seorang warga Indonesia adalah berusia 38 hingga 55 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Kuala Lumpur dalam mengesan rumah sindiket pengedaran dadah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dalam serbuan itu sebanyak enam kilogram (kg) dadah bagi syabu dan enam kg heroin dengan nilai keseluruhan RM1. 5 juta berjaya dirampas pihaknya.

“Dadah jenis syabu diletakkan dalam bungkusan teh cina yang bertulisan ‘Guanyinwang’  dan heroin pula diperolehi daripada 16 peket lutsinar.

“Turut dirampas adalah tiga buah kereta jenis Honda Accord, Toyota Vios dan Proton Saga serta wang tunai berjumlah RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan awal mendapati pengedar-pengedar itu bekerja sebagai jurujual, peniaga dan tukang masak dengan seorang daripadanya berasal dari Jakarta, Indonesia.

Tambah Noor Azam, semakan mendapati tiga daripada mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain turut positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kita percaya kesemua dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk dipercayai untuk kelab-kelab malam di sekitar Lembah Klang.

“Enam kg syabu mampu dibekalkan kepada 12,120 penagih dadah sehari manakala enam kg heroin kepada 240,000 penagih,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini