SINGAPURA 28 Feb. – Sebanyak lima lelaki ditahan setelah disyaki terlibat dalam kes rusuhan di sebuah kedai kopi di Woodlands, hujung minggu lalu.
Menurut polis Singapura yang dipetik Channel News Asia, kesemua suspek tersebut berusia antara 24 hingga 55 tahun ditahan semalam dan hari ini oleh pegawai polis Woodlands.
Katanya, pihak polis menerima laporan mengenai sekumpulan individu bergaduh di kedai makan di Blok 167 Woodlands Jalan 11, Sabtu lalu, kira-kira pukul 9.45 malam.
“Kumpulan itu kemudiannya melarikan diri sebelum polis tiba namun mangsa lelaki berusia 47 tahun ditemui dalam keadaan sedar di lokasi kejadian,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Rakaman video kejadian yang tular dalam media sosial menunjukkan lelaki dengan baju lengan panjang menjerit terhadap sekumpulan orang duduk bertentangnya di ST11 Coffee House.
Selain itu, satu video lagi menunjukkan lelaki berkenaan diserang dan ada yang cuba menghentikan pergaduhan namun dipukul dengan gelas sebelum mangsa dipukul dengan kerusi plastik. – AGENSI










