KUALA LUMPUR 11 Mac – Isu ahli Parlimen yang culas memakai pakaian istiadat ketika menghadiri Istiadat Pembukaan Majlis Parlimen pernah ‘kecoh’ empat tahun dahulu.
Ia apabila beberapa ahli Parlimen yang ketika itu berada di blok pembangkang melakukan protes dengan menyarung pakaian hitam pada hari tersebut.
Ramai menganggap ia satu tindakan yang biadab kerana tidak menghormati keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat itu.
Perkara sama berlaku hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-14 apabila sesetengah ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Tan Kok Wai (Cheras) dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Keningau) tidak memakai pakaian istiadat seperti sepatutnya.
Walaupun isu ini sering jadi perhatian umum, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff bagaimanapun tidak memandang isu itu sebagai serius.
Mohamad Ariff yang pada mulanya tidak mengetahui terdapat ahli Parlimen hanya menyarung sut lengkap pagi tadi malah berkata, perkara itu tidak menjejaskan majlis.
“Saya ingat hampir semua pakai baju istiadat. (Mereka) mungkin yang baharu (atau) tidak sempat.
“(Mereka) tak ramai. Ia tidak menjejaskan majlis,’’ katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Laporan Utusan Online berkenaan perkara tersebut pagi ini juga mendapat maklum balas daripada Lip Eng yang kelihatan tidak berpuas hati dengan laporan tersebut.
Wakil rakyat DAP melalui ciapannya di Twitter itu menyoal mengapa hanya beliau dan beberapa pemimpin lain ditegur sedangkan terdapat beberapa Ahli Parlimen pembangkang juga tidak memakai pakaian istiadat.
“Kenapa tak sebut Ahli Parlimen Gua Musang, Lenggong, Bintulu dan ramai lagi?,” soalnya.
Sementara itu, Mohamad Ariff berharap penggal Parlimen akan lebih mantap dan semua pihak termasuk ahli Parlimen dan pegawai Parlimen akan bekerja dengan lebih matang.
“Saya ingat penggal ini akan lebih mantap. Perubahan yang kita lakukan akan diteruskan dengan lebih giat lagi,” katanya.











