Liga Super: Melaka tewaskan Kuala Lumpur 2-0 - Utusan Malaysia

Liga Super: Melaka tewaskan Kuala Lumpur 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Pasukan Melaka berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini, sekali gus melonjak ke kedudukan keempat carta.

Selaku tuan rumah, Melaka bermula garang dengan melakukan gerakan seawal minit pertama dan keempat menerusi Anselmo Casagrande, namun berjaya diselamatkan penjaga gol skuad ‘The City Boys’, Mohd. Sharbinee Allawee dan percubaan mereka sekadar melewati palang gol.

Serangan bertali arus skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-14 menerusi tandukan pemain import dari Montenegro, Darko Markovic hasil hantaran lintang Faris Shah Rosli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selang dua minit kemudian, Mohd. Nazrin Nawi yang membuat gerakan solo selepas menerima hantaran jauh Casagrande, berjaya menewaskan Mohd. Sharbinee apabila sepakan leretnya gagal diselamatkan untuk membantu skuad Kancil berada di kedudukan selesa pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Melaka terus melakukan asakan bertubi-tubi, bagaimanapun tidak menemui sentuhan penyudah dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Melaka memintas PKNS FC ke kedudukan keempat liga dengan 10 mata daripada lima perlawanan setakat ini, manakala Kuala Lumpur kekal di tangga tercorot dalam saingan 12 pasukan itu tanpa sebarang mata selepas tewas dalam kesemua empat aksi. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini