IPOH – Kerajaan akan mewujudkan Liga E-Sukan sebagai antara usaha untuk mencungkil lebih banyak bakat dalam sukan alam maya itu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini pertandingan di seluruh negara melibatkan e-sukan atau sukan elektronik yang menjadi minat orang ramai terutama golongan muda banyak dijalankan one-off atau sekali sahaja.
“Akan ada (Liga E-Sukan) dari (peringkat) bawah sampai ke atas untuk kita cungkil bakat dan pasarkan (bakat) itu kerana e-sukan ini mempunyai pengikut yang ramai,” katanya.
Syed Saddiq bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Grassroot vs Rest of the World pada hari terakhir Persidangan Industri Profesional E-Sukan (EPIC) bertemakan More Than Gaming di sini hari ini.
Tanpa menyatakan bila Liga E-Sukan itu akan bermula, Syed Saddiq berkata, ketika ini pihaknya sedang memberi tumpuan kepada pemilihan pemain untuk mewakili negara dalam sukan tersebut ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Sebanyak enam acara permainan e-sukan dipertandingkan di Manila mulai 30 November sehingga 11 Disember depan iaitu Dota 2, Stracraft 2, Arena of Valor, Mobile Legend, Tekken serta NBA 2k19.
Bagi memastikan e-sukan terus diperkasa, Syed Saddiq berkata, kementerian telah menubuhkan satu pasukan bertindak khas yang antara lain dianggotai oleh pemain profesional sukan tersebut.
“Dengan adanya pasukan bertindak khas ini kita akan tetapkan syarat dan peraturan mengenai e-sukan,” katanya.
Menurut Syed Saddiq pasukan bertindak khas itu juga akan mengambil kira pandangan ibu bapa terhadap e-sukan kerana mengakui terdapat segelintir keluarga yang bimbang anak-anak mereka akan mengalami ketagihan.
“Pasukan bertindak khas tidak boleh ketepikan pandangan ibu bapa, ia akan ambil kira 100 peratus kerana kita tak nak wujud elemen ketagihan.
“Banyak pemain profesional e-sukan tapi mereka cergas, ada rutin dan rejim supaya tidak ketagihan atau tidak boleh jaga kesihatan,” katanya. – Bernama











