TAMBUN – Seorang lelaki maut selepas dia terjatuh dari tingkat tiga apartmen Desa Tambun di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Goey Cho Kiang, 33, difahamkan terjatuh ketika sedang memanjat bahagian luar salah sebuah rumah di apartmen tersebut dipercayai untuk bersembunyi dan melarikan diri.
Sebelum itu, seorang lelaki lain berusia 36 tahun dikatakan bertengkar dengan seorang wanita warga China selepas berang kekasihnya itu membawa pulang mangsa ke rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati, pengawal keselamatan apartmen berkenaan menasihati pasangan kekasih itu supaya menghentikan pertengkaran mereka kerana telah membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.
“Ketika pengawal tersebut sedang menasihati mereka, tiba-tiba mereka terdengar bunyi jeritan dari tingkat bawah apartmen itu.
“Selepas membuat pemeriksaan, pengawal mendapati mangsa yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu telah terjatuh dari tingkat tiga apartmen berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, mangsa dipercayai terjatuh ketika memanjat bahagian luar rumah untuk bersembunyi dan melarikan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE











