KUALA LUMPUR 15 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pemilik akaun Facebook, ‘Shahril Chain’ yang memuat naik komen jelik terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan institusi diraja di Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, permohonan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu akan dibuat esok.
“Suspek disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut atau menyebut apa-apa perkataan menghasut.
“Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Fuzi menegaskan, masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan medium laman sosial dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang memperlekehkan sistem raja berperlembagaan negara ini sehingga mencetuskan provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.-UTUSAN ONLINE











