PARIS 3 Mac.- Kylian Mbappe terus mempamerkan ketajamannya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG) bangkit menundukkan Caen 2-1 untuk mengukuhkan kedudukan di Ligue 1.
Kemenangan itu pasti memberi keyakinan untuk Kelab Gergasi Perancis itu melayan kunjungan Manchester United di Parc des Princes dalam saingan kedua kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL).
Selepas seminggu meraikan rekod 50 gol dalam saingan liga pada usia 20 tahun, Mbappe menjaringkan penalti buat pertama kali dalam Ligue 1 selepas hampir sejam perlawanan berlangsung.
Jaringan penyamaan itu menafikan gol pembukaan penyerang Caen, Casimir Ninga, disusuli ledakan Mbappe pada minit ke-87 untuk membantu pasukan meraih kemenangan.
Bintang muda Perancis itu, kini telah mengumpul 29 gol dalam semua kejohanan musim ini, di mana 24 daripadanya dijaringkan dalam saingan liga termasuk enam daripada empat perlawanan terakhir.
Ia ialah kemenangan kelapan berturut-turut buat PSG dalam semua kejohanan dan kelebihan besar mereka berada di puncak Ligue 1 kini menjadi 20 mata.
“Jurulatih berkata sebelum perlawanan, kami perlu bersedia menghadapi perlawanan besar yang kami perlu menang sebelum itu.
“Kami melalui tiga jam perjalanan dengan bas untuk sampai ke sini dan kami lakukan bukan untuk melancong kami mahukan kemenangan dan kini kami mahu pulang serta fokus kepada perlawanan yang sangat penting,” kata Mbappe. -AFP











