Selama dua hari berturut-turut, Blackpink telah berjaya memukau kira-kira 16,000 penonton menerusi Konsert Blackpink In Your Area Kuala Lumpur 2019 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam minggu lalu.
Keterujaan Blinks, gelaran peminat kumpulan ini mula membanjiri perkarangan stadium sejak pukul 3 petang lagi berbaloi apabila kumpulan di bawah naungan label berpengaruh YG Entertainment ini memberikan persembahan terbaik dan mengagumkan walaupun hanya dengan 10 lagu.
Fakta menarik, mereka menjadi kumpulan wanita pertama yang mengadakan konsert selama dua hari di Malaysia selepas kumpulan yang bernaung di bawah pengurusan yang sama, BigBang menerusi konsert BigBang World Tour (Made) In Malaysia, empat tahun lepas.
Memilih negara ini sebagai destinasi keenam bagi siri jelajah Asia mereka, sekali gus ini juga adalah kali pertama Blackpink mengadakan konsert solo lebih daripada satu hari di luar Korea Selatan.
Tepat pukul 6 petang, kumpulan yang dianggotai empat gadis cantik lagi berbakat ini memulakan persembahan dengan lagu Ddu Du Ddu-Du, lagu yang menjadi kegemaran peminat mereka.
Lagu tersebut bukan sahaja ‘berhantu’ tetapi lebih menarik lagi apabila video muzik berkenaan mengalahkan rekod video muzik kumpulan k-pop lain setakat ini, dengan jumlah 665 juta tontonan.
Bagaikan menonton empat ‘anak patung hidup’, Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose yang masing-masing dengan gaya comel bergaun mini dan seluar pendek serta jaket berwarna sedondon putih merah jambu, penuh bersemangat dan ligat menari di atas pentas.
Selesai satu lagu kegemaran penonton, bintang idola yang dibentuk dan dilatih selama enam tahun sebelum layak debut ini meneruskan persembahan live mereka dengan deretan lagu hit lain iaitu Forever Young, Stay, Boombayah dan Whistle, Playing With Fire, As If It’s Your Last, Really, See You Later serta satu lagu So Hot (nyanyian asal kumpulan Wonder Girls).
Kalau lagu lain Blackpink membuktikan tarian adalah ‘makanan’ mereka tetapi ketika mempersembahkan lagu Stay (versi akustik) mereka bukan saja menyentuh hati peminat bahkan sekali lagi membuktikan keupayaan dari segi vokal dan menyanyi secara langsung.
Menambah kehangatan malam berkenaan, mereka mendendangkan pula lagu kolaborasi bersama Dua Lipa iaitu Kiss & Make Up. Meskipun tanpa penyanyi British itu, langsung tidak menjejaskan persembahan Blackpink.
Malah suasana stadium bertambah gamat apabila seluruh yang berada di stadium turut menyanyi bersama-sama dan tak kurang ada bersorak sepanjang berlangsungnya konsert.
Ekstravaganza
Konsert anjuran Macpiepro ini juga disempurnakan lagi iringan kumpulan pemuzik serta beberapa elemen ektravaganza konsep dan penataan pentas yang dinamik, sistem pencahayaan, mainan grafik hingga kesan khas membabitkan letupan bunga api dan prop yang menambahkan lagi adrenalin keterujaan penonton.
Selama dua jam beraksi, tidak hanya menghiburkan penonton bahkan Blackpink pandai mengambil hati. Sesekali mereka mengambil peluang berkomunikasi dengan peminat dan cuba bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya rindu kamu, kamu sangat bagus dan saya cinta kamu” itu antara ayat-ayat manis yang diucapkan mereka dengan nada manja sambil melemparkan senyuman lantas membuatkan ramai peminat terutama peminat lelaki tergoda.
Mengakhiri konsert, sambil sekali lagi menyanyikan lagu Ddu Du Ddu-Du dan Stay, mereka tidak malu-malu mempamerkan aksi comel, gelagat spontan dan lucu mereka ketika melayan peminat.
“Kami sangat gembira kerana dapat menghiburkan Blinks di sini. Negara ini sangat cantik dan kamu semua sangat menakjubkan.
“Kami tidak akan melupakan kenangan kita malam ini dan berjanji akan kembali lagi ke sini untuk persembahan yang lebih baik lagi pada konsert kedua, ketiga dan seterusnya nanti,” tambah Jennie lagi mewakili yang lain sebelum mereka meninggalkan pentas.
Istimewa
Di pertengahan perjalanan konsert, setiap anggota mendapat sedikit masa untuk menonjol dan menunjukkan apa lagi keistimewaan yang mereka ada.
Dimulakan Jisso, gadis 24 tahun tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu Clarity (nyanyian asal penyanyi Jerman Zedd).
Disusuli dengan persembahan oleh bintang berasal dari Bangkok, Thailand, Lisa Manoban. Anggota paling muda ini mendapat tepukan dan sorakan gemuruh ketika dia mempamerkan aksi tarian cukup mempesona dan agresif diiringi empat orang penari latar menerusi lagu Take Me dan Swalla.
Suasana bertukar kepada mood yang lebih sentimental apabila Rose tampil dengan gaya elegan menyanyikan lagu Let It Be dan lagu asal nyanyian Taeyang (BigBang) bertajuk Only Look At Me. Persembahan gadis yang dilahirkan di New Zealand ini turut diiringi seorang pemuzik yang bermain piano.
Kemudian anggota paling sensasi, Jennie pula mengambil alih pentas dengan membawakan lagu hit, Solo. Antara ketiga-tiga lain, penyanyi yang pernah dikaitkan dengan Kai (Exo) itu nampak cukup selesa dengan gaya ala diva dan sesekali mempamerkan aksi nakal dan ekspresi wajah comel dan seksi.











