Lebuh raya hubungkan Perak, Kedah pertingkat ekonomi pedalaman - Utusan Malaysia

Lebuh raya hubungkan Perak, Kedah pertingkat ekonomi pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Mac – Lebuh raya yang menghubungkan Kedah dan Perak tanpa melalui Pulau Pinang dijangka akan memberi impak besar terhadap sosio-ekonomi penduduk pedalaman terutama di Baling, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir 

Beliau berkata cadangan berkenaan akan diangkat dalam masa terdekat kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.

“Orang Perak nak ke Kedah biasanya akan melalui Pulau Pinang dahulu, jadi kami rasa tidak sepatutnya begitu dan kami rasa perlu ada laluan kedua (yang membabitkan kawasan pedalaman). Saya fikir itu akan membuka ruang pengangkutan kepada kedua-dua negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49 bagi kali Ke-2 yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Majlis pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.

Terdahulu, Mukhriz turut dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar yang mendakwa nasib penduduk Baling tidak banyak berubah sejak peristiwa Demonstrasi Baling 1974, malah majoriti mereka yang bekerja sebagai penoreh getah masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Mengulas cadangan Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Russayani Ismail yang mahu Baling jadi pusat pertanian, Mukhriz berkata kerajaan negeri menyokong cadangan tersebut.

Dalam masa yang sama Mukhriz berkata kemudahan pengangkutan perlu juga disegerakan agar ia memberi impak maksimum terhadap ekonomi masyarakat setempat.

“Kami ada bercadang untuk membina lapangan terbang kargo dan ini tidak jauh dari Baling. Saya yakin jika jalan (dan) lapangan itu (dapat dibina) maka kawasan seperti Baling dan Sik yang berada di kawasan pedalaman ini akan terbuka,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN