“SAYA mula meminati ruangan DCCK ini kerana melihat sendiri sandiwara dalam keluarga sepupu saya, kak Zane dan suaminya bang Eman. Mereka luaran sahaja nampak baik tetapi hakikatnya mereka sering bertikam lidah. Bila bertengkar mereka tak pilih tempat, dalam kereta, dalam bilik malah ketika makan di kedai pun mereka bermasam muka. Walaupun awalnya mereka sama-sama setuju hendak keluar makan bersama anak-anak. Tapi akhirnya kak Zane saja balik rumah, suaminya entah di mana.
“Saya tahu sangat perangai dan perbalahan mereka sebab saya menumpang tinggal di rumah mereka selama dua tahun ketika menuntut di kolej dahulu. Bila mereka bertengkar saya rasa nak keluar rumah waktu itu juga, tetapi memikirkan tidak ada siapa yang boleh tumpangkan saya, maka saya terpaksa pekakkan telinga dan bersabar. Lantak kaulah berperang.’’ Itu cerita Bella ketika kami berbual.
“Macam biasalah, walaupun selalu bergaduh, tetapi anak tetap lahir, tak sampai sembilan tahun kahwin anak dah tiga orang. Rasanya kalau kak Zane tak makan pil perancang mahu beranak setiap tahun, mungkin anaknya dah ada enam orang. Tapi rasa saya mereka tetap bersama kerana kak Zane amat sabar. Walaupun bergaduh, dia tetap siapkan makan minum untuk suaminya. Katanya kalau suami tak mahu makan, dia dan anak-anak tetap hendak makan jadi dia terpaksa siapkan.
“Kak Zane tak ada rahsia dengan saya dan pada sayalah dia selalu bercerita tentang masalah rumahtangganya. Katanya sebelum saya datang, dia sering keseorangan, tak tahu pada siapa nak bercakap bila rumahtangga berantakan. Namun dia tetap beri amaran agar cerita itu jangan sampai ibu bapa dan kaum keluarganya tahu. Sebab itu bila mereka balik kampung, saya lihat mereka suami isteri baik saja kerana pandai simpan rahsia.
“Tapi pandai macam manapun satu hari meletup jugak. Entah macam mana nak dijadikan cerita, entah siapa sudah bocorkan rahsia pada kak Zane yang suaminya kahwin lagi dengan ibu tunggal anak satu. Lebih muda daripada kak Zane. Malang sungguh, hari itu gunung berapi meletus. Tapi suaminya mati balik hidup tak mengaku. Katanya fitnah.
“Sampai bila nak sorok. Si tukang pecahkan tembelang beritahu nama dan alamat lengkap madu kak Zane. Tanpa tunggu suaminya balik, kak Zane terus ke rumah wanita tersebut. Katanya dia nak buktikan pada suaminya bukan fitnah. Nak jadikan cerita lebih tegang, kebetulan ketika itu suami kak Zane ada di rumah tersebut. Apa lagi pintu rumah madu kak Zane jadi mangsa kasut dan batu sebab wanita itu enggan buka pintu.
“Suami kak Zane lari ikut pintu belakang. Rupanya dia takut juga dengan kak Zane bila dah mengamuk. Polis terpaksa dipanggil untuk tenangkan suasana, sebab kak Zane dah naik hantu. Habis pasu bunga kaktus, basikal budak dan banyak pokok bunga depan rumah madunya habis jadi mangsa kak Zane. Dicabut-cabut dan pasu bunga dipecahkan, tanah berserakan.
“Kak Zane keluar cari suaminya dan saya ditugaskan jaga anak-anaknya ketika dia keluar. Bukan takat itu, saya juga disuruh ambil anak-anak di rumah pengasuh.Saya terpaksa buat, maklumlah menumpang rumah orang.
“Bila balik kak Zane masih belum puas hati selagi tak jumpa suaminya. Macam biasa tiga hari suaminya tak balik rumah. Telefon di pejabat langsung tak dijawab dan kak Zane tidak dibenar naik ke pejabat. Ini membuatkan kak Zane jadi lebih ‘hangin’ Kerunsingannya membuat anak-anaknya dan saya turun runsing.
“Lepas tiga hari baru kak Zane aman dan mahu berbual dengan saya. Banyaklah rahsia terbongkar. Kesedihannya bertambah bila dia beritahu mentuanya yang menggalakkan suaminya kahwin lagi sebab dari awal perkahwinannya, mentuanya memang tak sukakan kak Zane. Semuanya berpunca kerana kak Zane tak benarkan suaminya memandu kereta kak Zane untuk bawa keluarganya membeli belah barangan perkahwinan di Air Hitam dan Tangkak, Johor.
“Alasan kak Zane kalau mereka gunakan keretanya, bagaimana dia nak hantar bayinya ke rumah pengasuh dan untuk ke tempat kerja. Bukan nak pinjam sehari, tetapi tiga atau empat hari. Bermakna kak Zane kena ambil cuti sedangkan cutinya sudah habis sebab sering bawa bayi ke hospital. Kak Zane cuba terangkan tetapi mereka tak mahu dengar dan terus cop kak Zane kedekut dan terlalu berkira. Sejak itu hubungan mereka mulai tegang.
“Kata kak Zane dia dah lama bersabar dengar perangai suami dan mentuanya, jadi untuk tenangkan fikirannya dia suka baca DCCK. Katanya ruangan ini bukan setakat beri nasihat tapi menjadi iktibar padanya. Malahan ketika jiwanya tertekan dengan kerenah suami dan mentuanya dia akan cari DCCK untuk mengubati hatinya yang terluka.
“Apapun saya tabik spring pada kak Zane. Dia berjiwa kental dan akhirnya dia berjaya menawan hati suami kembali meskipun memakan masa yang lama. Madunya diceraikan tiga tahun kemudian. Lepas peristiwa itu hati kak Zane tidak mudah percaya dengan suami yang cepat tertawan dengan wanita. Kata kak Zane sekali dia pernah bermadu, tak mustahil dia akan dimadukan sekali lagi, kerana itu dia tidak percaya pada pujukan suaminya atau apa juga drama suaminya konon sayangkannya.
“Kata kak Zane lagi walaupun sekarang dia tidak lagi bermadu tetapi dia sentiasa berjaga-jaga sebab susah nak percaya sifat lelaki. Kita percaya dan sayangkan dia sepenuh hati, tetapi dia lebih sayangkan dirinya dan suka berkongsi kasih sayang dengan wanita lain bukan dengan anak-anak dan isteri sendiri.
Itu cerita kak Zane setelah terlepas dari bermadu dan dia banyak menggalakkan saya ambil iktibar dari pengalamannya untuk dijadikan panduan apabila saya ingin berkahwin nanti.
“Entah mengapa semakin banyak saya ikuti cerita DCCK semakin banyak saya melihat sendiri drama pahit-maung kehidupan sesebuah keluarga yang penuh dengan penderitaan seperti kak Zane.
“Walaupun kak Zane kata bukan semua lelaki suka menganiaya isterinya sendiri, tetapi saya tidak berani ambil risiko mencuba nasib dengan berkahwin kerana saya tak sanggup jadikan diri saya sebagai bahan uji kaji. Saya tak suka mencuba untuk mencari kebahagiaan. Contoh, kahwin. Jika tak sesuai cerai dan kahwin lelaki lain. Oh tidak! Bukan saya.
“Saya tak berani mencuba nasib, bertukar suami seperti menukai pakaian. Gagal perkahwinan pertama boleh cuba perkahwinan kedua mungkin boleh bahagia. Tidak! saya tak sanggup!
“Tetapi rasanya saya lebih bahagia dan tenteram jika saya tidak berkahwin, bukan kerana saya tamak, tak mahu berkongsi rumahtangga dengan seorang lelaki tetapi sebenarnya saya tak percaya pada lelaki. Saya cukup takut dengan perangai lelaki seperti suami kak Zane.
“Nak jadikan cerita 10 tahun berlalu, setelah bekerja, berpindah dan membeli rumah sendiri, saya dapat berita kak Zane akhirnya bercerai juga dengan suaminya setelah dia gagal menahan kehendak suaminya yang mahu berkahwin lagi.
“Kata kak Zane ketika saya temui, dia akhirnya setuju bercerai kerana tak sanggup lagi bermadu dan tidak sanggup lagi berkorban apa sahaja untuk suaminya yang semakin kurang memberikan perhatian kepada keluarga.
“Kekesalan kak Zane jika dari awal dia sedar begini nasibnya, sudah lama dulu dia sanggup bercerai. Kini setelah kak Zane memiliki segala-galanya, ada rumah ada kereta yang dia sendiri beli dia terpaksa berkongsi dengan suaminya, walaupun rumah tersebut kak Zane sendiri yang beli dengan duit simpanannya,
“Jiwanya semakin tertekan apabila suaminya menuntut 50 peratus daripada rumah tersebut atas alasan harta sepencarian. Sedangkan dia tidak menyumbang apa pun ketika beli rumah tersebut. Lebih menyedihkan, suami kak Zane hendak jual rumah tersebut kerana rumah itu milik bersama. Fikirkanlah isteri mana tak menderita jika begini akhir perkahwinannya, bukan sahaja lebih susah, malah boleh buat dia papa. Kata kak Zane dia setuju letak nama suaminya ketika beli rumah teresebut kerana sayangkan suaminya Tetapi dia akhirnya dikhianati.’’
Itu cerita Bella tentang nasib yang menimpa kak Zane. Katanya jika dikaji dan diselidik, sebenarnya ramai wanita senasib kak Zane tetapi mereka tidak ada tempat hendak mengadu, Mahkamah Syariah tidak akan faham masalah wanita yang diceraikan dan ditinggalkan dengan hutang oleh bekas suaminya. Sedangkan hendak tuntut nafkah pun memakan masa bertahun tahun lamanya dan itupun belum tentu selesai.











