HEBRON 6 Mac – Pihak berkuasa Israel meneruskan ‘siri kejahatan’ terhadap bumi Palestin apabila bertindak melarang jawatankuasa Masjid Ibrahimi yang terletak di bandar ini daripada melaungkan azan menggunakan pembesar suara.
Ma’an News melaporkan, bulan lalu sahaja, sebanyak 44 kali amaran dan larangan telah disuarakan oleh pihak rejim Zionis.
Jabatan Endowmen Islam Hebron memaklumkan, larangan itu dikeluarkan sebagai percubaan Israel untuk ‘menjadikan’ masjid tersebut sebagai milik penduduk Yahudi.
Masjid Ibrahimi yang dipercayai menempatkan makam Nabi Ibrahim terletak di tengah Hebron dan bandar ini kini dipenuhi dengan kira-kira 500 penempatan penduduk Yahudi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Majlis Waqf, Sheikh Abdel Azeem Salhab menegaskan, bangunan Bab al-Rahma yang terletak dalam kompleks Masjid al-Aqsa akan terus dibuka untuk penduduk Palestin menunaikan ibadat.
Keputusan itu bertentangan dengan arahan pihak berkuasa Israel yang mengarahkan supaya bangunan itu ditutup pada Isnin depan.
“Kami tidak akan melayan desakan Israel memandangkan rejim Zionis itu tidak mempunyai kuasa terhadap Bab al-Rahma dan Masjid al-Aqsa.
“Saya juga menuntut supaya Israel membenarkan kerja-kerja membaik pulih dapat dilakukan dalam bangunan tersebut, selain menarik balik arahan yang melarang puluhan pegawai Waqf, pengawal dan penduduk Palestin daripada memasuki kawasan suci itu,” katanya.
Pihak berkuasa Zionis sebelum ini melarang sebanyak 133 penduduk Palestin daripada memasuki kompleks Masjid al-Aqsa pada bulan lalu.
Sheikh Abdel Azeem sendiri dihalang daripada memasuki kompleks suci itu selama 40 hari, manakala timbalannya, Sheikh Najeh Bkerat turut dikenakan larangan yang sama selama empat bulan.
Selain itu, seramai 229 penduduk Palestin ditahan pihak berkuasa Israel pada bulan lalu selepas didakwa melakukan kesalahan dengan sengaja mencetuskan kekecohan serta kekacauan.
Kesemua langkah berat sebelah Israel itu dikuat kuasa selepas penduduk Palestin membuka Bab al-Rahma pada bulan lalu selepas ditutup hampir 16 tahun oleh rejim Zionis.
Israel mendakwa bangunan itu digunakan untuk kegiatan politik oleh pertubuhan yang diharamkan.
Sementara itu, kumpulan aktivis haluan kanan Israel pula menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membina pusat perhimpunan Yahudi di Bab al-Rahma dan membuka bangunan tersebut untuk kegunaan mereka.











