PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penyertaan lapan bekas pemimpin UMNO Sabah ke dalam Bersatu serta memberi jaminan bahawa mereka akan menyokong kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.
Mereka yang menerima kad keanggotaan Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini terdiri daripada empat Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator.
Ahli Parlimen itu adalah Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).
ADUN pula ialah Datuk Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan).
Dua senator itu pula ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.
Perdana Menteri berkata, kemasukan Bersatu ke Sabah tidak bermakna untuk mengetepikan atau menggantikan kerajaan negeri pimpinan Warisan.
“Ahli-ahli Bersatu di Sabah akan sokong kerajaan Warisan sekarang. Kita tak ada niat nak ganti mana-mana pihak. Kita hendak ada di sana hanya untuk menyokong kerajaan Warisan Sabah,” katanya.
Mahathir berkata, walaupun Bersatu bercadang untuk melancarkan Bersatu Sabah pada 6 April ini,namun sudah ada permintaan untuk menyertai Bersatu di Sabah. – Bernama











