Laluan khas kemasukan universiti awam - Maszlee - Utusan Malaysia

Laluan khas kemasukan universiti awam – Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT 2 Mac – Kementarian Pendidikan menyediakan laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke universiti awam yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, dengan adanya laluan khas itu empat golongan berkenaan tidak perlu bersaing de­ngan kumpulan arus perdana untuk me­lanjutkan pengajian masing-masing.

Beliau berkata, mereka hanya perlu memenuhi syarat khas yang ditetapkan oleh universiti yang dipilih dan akan disa­ring dalam kalangan kelompok mereka sendiri sahaja.

“Bagi golongan OKU dan berpendapatan rendah ini, kita akan memilih yang terbaik dalam kalangan mereka. Bagi masyarakat Orang Asli kita mahu lebih ramai yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan golongan atlet pula kita mahu melahirkan lebih ramai atlet yang berpendidikan di pusat pengajian tinggi.

“Kita laksanakan laluan khas ini kerana mencontohi beberapa negera maju yang mengutamakan golo­ngan berkenaan terutamanya golo­ngan atlet kerana ramai yang memasuki universiti ke­rana penglibatan mereka dalam bidang sains sukan,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Program Jom Masuk IPT 2019 (JMIPT) Zon Selatan, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Sementara itu, semasa ditanya berhubung status cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah di Pagoh, beliau enggan me­ngulas lanjut me­ngenainya, dan berkata, selain universiti berkenaan, terdapat beberapa universiti luar lain seperti di United Kingdom dan Jepun yang turut berminat untuk membuka cawa­ngan dalam negara.

“Selain menerima permohonan daripada universiti luar negara kerana kos pengajian dan sara hidup yang murah, pihak kerajaan juga ada me­rancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN