PASIR GUDANG 13 Mac – Catuan bekalan air berjadual akan dilaksanakan di Felda Lok Heng pada hujung minggu ini diikuti kawasan Sedili di Kota Tinggi, membabitkan 40,000 pengguna.
Kerajaan Johor terpaksa mengambil langkah itu berikutan empangan di kawasan terbabit sudah mencapai paras air yang kritikal.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, catuan bekalan air berjadual itu bakal membabitkan 25,000 pengguna di kawasan Sedili dan 15,000 lagi di Gugusan Felda Lok Heng, Bukit Waha serta Easter.
Beliau berkata, paras air mentah di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng, Kota Tinggi, kini menyusut secara mendadak ke paras 1.43 meter berbanding paras normal 2.75 meter.
“Paras ini memaksa pihak Ranhill SAJ menjalankan (catuan) bekalan air berjadual kepada pengguna di kawasan terbabit pada hujung minggu ini.
“Muka sauk di Sungai Gembut yang membekalkan air mentah ke LRA Sungai Gembut bagi kawasan Sedili turut menyusut ke paras 0.19 meter berbanding paras normal 0.70 meter dan ia mampu bertahan selama lima hari menjelang paras catuan 0.00 meter,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Empangan Layang Atas dan LRA Sultan Iskandar di sini semalam.











