Populariti rupa-rupanya tidak menjamin keseronokan bagi Cakra Khan sehinggakan baru-baru ini dia mengaku mengalami tekanan perasaan sejak setahun lalu.
Tekanan yang dialami itu ditambah lagi dengan kesibukan kerja sehingga tidak mempunyai masa bersosial bersama teman-temannya. Justeru ada ketikanya dia berasa sangat sunyi.
Bukan itu saja, kesan tekanan tersebut bertambah disebabkan dia sering membawakan lagu-lagu putus cinta, ditinggalkan atau dicurangi yang sangat mempengaruhi dirinya.
“Percaya atau tidak, lagu-lagu sedih itu memberi kesan kepada kehidupan saya. Saya mengalami tekanan sejak setahun lalu,” katanya membuka rahsia.
Rasa sepi yang dirasai penyanyi bersuara serak-serak basah ini lama-lama kelamaan menjadi semakin ekstrem sehingga membuat dia tidak boleh tidur malam.
Tidak tahan dengan gangguan tersebut, Cakra akhirnya mengambil keputusan berjumpa pakar psikiatri dan mendapatkan rawatan sehingga sekarang.
“Saya sudah bertemu dengan pakar psikiatri. Saya berbual dengan doktor dan meluahkan masalah saya. Salah satu yang boleh membantu saya adalah dengan menyanyi lagu yang positif, tentang semangat diri dan jangan terlalu memikirkan perkara-perkara yang tidak penting.
“Saya yakin ramai orang yang mengalami tekanan perasaan tidak mahu meluahkan masalah mereka. Sebaliknya mereka jadi takut dan berisiko terjebak dengan ubat-ubat terlarang atau hal-hal negatif.
“Saya berusaha membuang rasa sepi itu dengan tetap berkarya. Perlahan-lahan, insya-Allah,” tambahnya.
Lagu patah hati terakhir
Cakra juga mendedahkan disebabkan tekanan yang dialami, membuatkan dia hampir nekad meninggalkan kerjaya seni dan pulang ke kampung halamannya di Pangandaran, Jawa Barat.
Tetapi keinginannya itu tiba-tiba lenyap tatkala mengingatkan kembali perjalanan panjang dan penuh berliku yang dilalui untuk membangunkan kariernya sehingga ke tahap ini.
“Saya pernah terfikir tidak mahu lagi menyanyi dan mahu pulang saja ke kampung. Itu emosi batin saya. Maksudnya mungkin wajar, kerana saya berasal dari kampung jadi ketika realitinya saya menjadi seorang yang dilihat orang, saya harus sentiasa menjadi contoh yang baik.
“Sedangkan kita sebagai manusia, kadang-kadang ada masa kita bergembira ada masanya kita berduka,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Bayangan ini.
Dalam pada itu, Cakra tampil dengan lagu terbaharu bertajuk Adalah Aku sekali gus memberi bayangan lagu tersebut menjadi lagu ‘sedih’ terakhirnya.
Menurut pemuda berusia 26 tahun ini, dia mahu beristirahat daripada menyanyikan lagu-lagu bertema kisah patah hati dan beralih kepada lagu-lagu yang positif.
“Saya akan berehat dari itu (lagu-lagu sedih), kerana saya sudah rakam lagu-lagu yang positif. Jadi lagu Adalah Aku dilancarkan dulu dan seperti lagu terakhir saya kerana selepas ini lagu-lagu positif.
“Temanya lebih positif. Untuk sekarang saya tidak lagi mencipta lagu patah hati, tetapi lagu tentang kekeluargaan dan lagu yang menyuntik semangat,” tuturnya.











