ISLAMABAD/NEW DELHI – Tentera India dan Pakistan berbalas bedilan meriam di Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah Kashmir kelmarin ketika krisis antara dua negara kuasa nuklear itu makin meruncing, kata beberapa pegawai seperti laporan agensi berita Xinhua.
Seorang pegawai India berkata, pertempuran melibatkan penggunaan senjata berat itu berlarutan selama beberapa jam.
“Kami akan memindahkan penduduk di kawasan sempadan sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian,” katanya.
Setakat ini, belum ada laporan mengenai kerosakan atau kematian sama ada oleh Islamabad ataupun New Delhi berhubung pertempuran tersebut.
Beberapa pegawai lain berkata, ‘perang’ artileri itu turut dilaporkan di beberapa lokasi di sepanjang LoC petang Selasa lalu dan berlarutan sepanjang malam.
Malam kelmarin, Pakistan pada awalnya mendakwa bahawa ia menembak jatuh dua jet pejuang India di ruang udaranya dan menangkap dua juruterbang.
Bagaimanapun, seorang jurucakap tentera Islamabad kemudian berkata, hanya seorang juruterbang Tentera Udara India berada dalam tahanan Pakistan. – AFP/Agensi
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










