JAKARTA 28 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia membenarkan parti politik yang terlibat dalam pilihan raya umum (Pemilu) 2019 untuk membuat iklan kempen dalam media sosial.
Portal Okezone melaporkan, suruhanjaya tersebut turut membenarkan calon Presiden (Capres), calon Naib Presiden (Cawapres) mahupun calon legislatif supaya mengambil langkah serupa.
Pesuruhjaya KPU, Wahyu Setiawan berkata, pihak yang terlibat dalam Pemilu dibenarkan berkempen menerusi kaedah itu.
Katanya, pihaknya tidak meletakkan sebarang peraturan tentang jumlah mahupun tempoh iklan kempen yang disiarkan dalam media sosial namun mereka perlu mematuhi undang-undang.
“Iklan ini (dalam media sosial) tidak dikawal, kita hanya mengawal selia iklan di televisyen, radio, akhbar dan media dalam talian.
“Kempen media sosial memang dibenarkan dan kita juga sedang membincangkan tentang iklan kempen menerusi media massa,” katanya, semalam.
KPU Indonesia menyediakan kemudahan ini untuk penyiaran kempen iklan menerusi media massa untuk gandingan Capres dan Cawapres serta parti politik yang terlibat dalam Pemilu dan anggota dewan perwakilan daerah.
Iklan tersebut kemudian akan disiarkan dalam media cetak, televisyen dan radio atau media dalam talian selama 21 hari namun terhad kepada tiga media sahaja. – AGENSI










