PARIT BUNTAR – Sebanyak 955 barang tiruan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM27,485 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam serbuan di tujuh buah premis di sebuah pasar di sini Sabtu lalu.
Dalam operasi bermula pukul 6.30 pagi itu, sebanyak 558 unit telekung menggunakan jenama Siti Khadijah disita selain 45 unit beg telekung dan 12 unit katalog jenama sama.
Turut disita dalam serbuan itu adalah 26 helai baju berjenama Gucci, 69 helai seluar Gucci, 129 helai seluar Levi’s dan 116 helai seluar Puma.
Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, risikan di tapak perniagaan itu telah dilakukan selama seminggu bagi mengenal pasti tempat simpanan bahan jualan yang digunakan peniaga terlibat.
Katanya, beberapa pegawai penguat kuasa dan wakil cap dagang setiap jenama telah di tempatkan di lokasi berkenaan sejak operasi bermula.
“Selepas menyedari kehadiran kami, peniaga yang dalam keadaan kelam kabut itu cuba membawa lari barangan berjenama yang disyaki tiruan dari gerai mereka tetapi berjaya dihalang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang berpakaian preman.
“Berdasarkan serbuan yang dijalankan, premis tersebut didapati menjual pelbagai pakaian berjenama yang disyaki tiruan secara borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Ahmad Ahrazzuddin, siasatan awal ke atas tujuh gerai mendapati lima daripadanya dimiliki oleh individu berstatus penduduk tetap manakala dua gerai lagi milik rakyat tempatan.
“Siasatan juga mendapati gerai-gerai tersebut telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan merupakan pembekal utama bagi peniaga pasar malam dan ekspo sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – K! ONLINE










