Komen tidak dibenarkan? - Utusan Malaysia

Komen tidak dibenarkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mac – Ruangan komen dalam portal berita mungkin tidak lagi dibenarkan kerana kerajaan dalam pertimbangan untuk menggubal satu undang-undang yang berkaitan dengan aspek tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Go­bind Singh Deo berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan belum dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.

Jelas beliau, pengendali portal berita perlu bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut kerana ia ditulis di ruangan yang disediakan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa semua setuju ke­rap kali kita lihat perkara yang dibangkitkan di situ adalah yang boleh membangkitkan perasaan marah dan sebagainya, ini yang kita kena hati-hati.

“Saya dalam proses sama ada untuk mempertimbangkan atau tidak satu undang-undang digubal untuk melihat aspek itu tapi perkara itu masih dalam pertimbangan belum bawa ke Kabinet lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 mahu tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara termasuk penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Gobind mendedahkan kerajaan sedang mengkaji untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memadamkan paparan berbaur perkauman.

Sementara itu, ketika mengulas titah ucapan Seri Paduka, Gobind berkata, walaupun dalam era media sosial, rakyat ada tanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada perpaduan dan keselamatan negara.

“Kemukakanlah komen yang ada nilai, yang boleh satu padukan negara kita. Saya ulangi bahawa kita perlu bertanggungjawab, semua kena berhati-hati seperti yang disebut oleh Seri Paduka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini