Khabar angin ramai bekas pesakit Hospital Mawar meninggal tidak benar - Utusan Malaysia

Khabar angin ramai bekas pesakit Hospital Mawar meninggal tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan menafikan khabar angin ramai bekas pesakit hospital Mawar Medical Centre (MMC) di sini meninggal dunia selepas hospital itu diarah tutup oleh kerajaan pada 15 Januari lalu.

Menurut beliau, cuma dua kes kematian melibatkan bekas pesakit hospital itu dilaporkan iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun yang  meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban akibat masalah jantung dan seorang lelaki pesakit buah pinggang berumur 69 tahun yang meninggal dunia di rumahnya.

“Makluman dan siasatan mendapati rawatan yang diberikan oleh pihak hospital (HTJ) adalah bertepatan dengan piawaian perawatan yang ditetapkan.

“Tiada lagi kematian selain dua kematian tersebut berlaku dalam kalangan pesakit sejak hospital itu (MMC) diarah tutup mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Veerapan berkata, pesakit MMC telah dipindah menyambung rawatan di pusat dialisis swasta atau di hospital kerajaan di Negeri Sembilan sejak hospital itu ditutup.

Kata beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sentiasa mengutamakan kesihatan semua pesakit-pesakit yang perlu menerima rawatan termasuk pesakit dari MMC yang telah diarah tutup.

Kementerian Kesihatan membatalkan lesen hospital MMC selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN