KUALA LUMPUR 1 Mac . – Kumpulan MBSB mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak RM642.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 54 peratus berbanding hanya RM417.13 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
MBSB dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah aset keseluruhan juga meningkat sebanyak RM615.37 juta kepada RM45.42 bilion berbanding RM44.81 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan yang berakhir pada Disember 2017.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, 2018 merupakan tahun yang bermakna kepada mereka apabila melengkapkan pengambilalihan Asian Finance Bank Berhad pada bulan Februari.
“Bagaimanapun gabungan operasi dan perniagaan dua entiti ini hanya berlaku pada 2 April 2018. Daripada situ kami mula melaksanakan perancangan untuk membina teras keupayaan perbankan untuk entiti yang baru bergabung ini,” katanya.
Perolehan Kumpulan MBSB bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM3.15 bilion hampir sama dengan yang dicatatkan pada 2017 iaitu RM3.26 bilion.
Mengenai prestasi kumpulan pada tahun 2018, Ahmad Zaini berkata, 95 peratus pendapatan diperoleh daripada perniagaan sedia ada dan baki lima peratus lagi daripada tawaran baharu.
“Ini merupakan dalam jangkaan kami di mana kami menumpukan masa dan sumber lebih kepada membina infrastruktur perbankan bagi membolehkan kami melancarkan keupayaan baharu seperti perbankan internet korporat dan runcit,” katanya.
Untuk tahun 2019, beliau berkata, mereka akan memastikan pelan transformasi teknologi kerana itu merupakan kunci untuk memastikan mereka terus mampu bersaing dalam industri. – UTUSAN ONLINE











