KUALA LUMPUR 7 Mac – Jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas merupakan agenda yang melangkaui batas politik dan bersifat holistik iaitu menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam.
Pandangan itu dilontarkan penganalisis politik firma penyelidik Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul yang melihat wujud perbezaan dengan jalinan kerjasama antara Pas bersama DAP dan PKR bagi membentuk Pakatan Rakyat yang hanya menumpu kepada agenda menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau juga percaya kerjasama UMNO-Pas memberi sedikit tekanan kepada Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat kurang mengambil berat tentang hal ehwal orang Melayu dan Islam.
“Kita tak boleh nak jangka masa depan macam mana kerana politik ini dinamik dan boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Ini adalah langkah bersifat universal iaitu penyatuan ummah.
“Masyarakat akar umbi sudah lama mendambakan hubungan ini demi memastikan suara orang Melayu terus kuat dan saya jangka kerjasama ini mampu kekal lama,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
UMNO dan Pas mengumumkan jalinan kerjasama secara rasmi demi penyatuan ummah dan berikutan itu satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperincikan kerjasama tersebut.
Kerjasama itu, walaupun menarik perhatian orang Melayu dan Islam, namun wujud persoalan dalam kalangan masyarakat Cina, India dan lain-lain terhadap gandingan UMNO-Pas yang menjadi dua teras utama masyarakat Melayu sejak sekian lama.
Bagi penganalisis ekonomi dan politik antarabangsa, Prof. Dr. Hoo Ke Ping, wujud rasa was-was dalam kalangan masyarakat Cina dengan jalinan kerjasama tersebut, lebih-lebih lagi apabila UMNO dan Pas telah menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri juga mahukan sokongan dua parti itu untuk memperkukuhkan kedudukannya.
“Masyarakat Cina dalam pilihan raya umum lalu 90 peratus menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN), mereka gembira apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membawa agenda Melayu bersama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas berakhir pilihan raya.
“Namun hari ini, mereka berasa marah dengan DAP kerana berdiam diri apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) mahu agenda bumiputera dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











