PUTRAJAYA 28 Mac – Keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak meneruskan projek pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Sentral di Presint 9 adalah satu langkah tidak wajar di dalam membantu golongan kurang kemampuan untuk membeli kediaman khususnya ketika rakyat terbeban dengan kos sara hidup masa kini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya, Mohd. Zushaidey Zulkifli menegaskan, pihak kerajaan seharusnya meneruskan usaha tersebut di samping menambah insentif-insentif untuk memudahkan rakyat terutamanya generasi muda membeli rumah idaman.
“Berbanding kerajaan terdahulu, kita sentiasa memikirkan masalah dihadapi rakyat termasuklah dalam soal pemilikan kediaman, justeru itu di bawah kepimpinan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, beliau merancang membina kira-kira 2,000 unit kediaman mampu milik di sini.
“Dengan 500 unit daripadanya iaitu dengan keluasan 700 kaki persegi pada harga RM80,000 yang ditawarkan kepada kakitangan kerajaan kumpulan sokongan Gred N17, kaum India, warga Wilayah Persekutuan berpendapatan rendah dan golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Zushaidey berkata, pihaknya mengesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan itu dengan meneruskan pembinaan Rumawip bagi memberi peluang rakyat daripada golongan pendapatan rendah membeli rumah.
“Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya memikirkan jalan terbaik dalam menangani masalah rakyat dan bukannya menyusahkan termasuklah dengan keputusan tidak wajar itu,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan rancangan Rumawip Sentral di Presint 9 tidak dapat diteruskan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meneliti semula cadangan pembinaan projek itu yang terletak bersebelahan terminal pengangkutan awam Putrajaya Sentral.
Rancangan pembinaan itu melibatkan pembinaan 2,000 unit rumah dengan 500 daripadanya akan dijual pada harga serendah RM80,000 dan pembinaannya dijangka siap pada 2024.-UTUSAN ONLINE











