PUTRAJAYA 6 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan diumumkan pada 14 Mac ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari yang sama.
Calon persendirian pula jelasnya, akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.
“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi, 14 Mac dan akan ditamatkan pada 6 petang 20 Mac.
“Keputusan juga boleh disemak melalui laman web Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan,” jelasnya di sini hari ini.
Bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM Ulangan 2019 atau SPM sebagai calon persendirian tahun ini, jelas kementerian, pendaftaran dibuka bermula pada 14 Mac hingga 31 Mac depan.
Menurutnya, pendaftaran boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my.
“Urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran hendaklah melalui Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon ingin menduduki peperiksaan,” jelasnya lagi.
Kementerian menjelaskan, sebanyak 421,706 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, menurutnya, sebanyak 362,754 merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan. – UTUSAN ONLINE











