REMBAU 31 Mac – Kenapa calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram mencium kotak semasa penamaan calon semalam?
Mungkin itu pertanyaan yang berlegar dalam kalangan orang ramai selepas gambar menunjukkan beliau seolah-olah mencium sebuah kotak berwarna merah di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini, tular dalam media sosial.
Menjawab perkara tersebut, Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau menafikan beliau mengucup kotak berkenaan seperti yang disangka orang ramai.
Menurutnya, gambar itu dirakam semasa beliau sedang menjalani proses penamaan calon di hadapan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Gambar itu diambil ketika pegawai SPR menyuruh saya tengok dalam kotak itu untuk saya periksa sebelum cabutan nombor calon PRK DUN Rantau dijalankan.
“Saya tidak mencium kotak itu sebaliknya diminta melihat dalam kotak jika ada kerosakan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Rumah Rakyat Bandar Ekar di sini pagi tadi.
Streram berkata, beliau hairan mengapa hanya gambar beliau memeriksa kotak itu ditularkan sedangkan calon lain turut diminta berbuat demikian oleh pegawai SPR.
“Pihak yang menularkan gambar itu mungkin berniat jahat untuk merosakkan reputasi saya semasa PRK DUN Rantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE











