Kenapa perlu pilih Zakaria? - Utusan Malaysia

Kenapa perlu pilih Zakaria?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
DIJANGKAKAN
hampir 54,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bakal memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, esok. PRK kali ini memperlihatkan saingan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sekali lagi membuat keputusan bijak kerana memilih orang tempatan sebagai calon. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang masih tertanya-tanya mengapa Zakaria dipilih sebagai calon?

Sedangkan kita tahu dalam senarai calon BN lain yang dikemukakan ada antaranya mempunyai kelayakan akademik di peringkat doktor falsafah (PhD). Pastinya ada keistimewaan yang tersendiri dalam diri Zakaria sehingga beliau dipilih sebagai calon yang selayaknya untuk mengangkat suara rakyat di Semenyih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zakaria merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2001. Setelah itu, dari 2005 hingga 2016 iaitu 11 tahun beliau berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir di UKM.

Penglibatannya selama lebih 20 tahun dalam bidang politik juga boleh dibanggakan warga Semenyih. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap UMNO Cawangan, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Hulu Langat dan Ketua Cawangan UMNO.

Beliau mula aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 1995 dan pada ketika itu dilantik sebagai AJK Majlis Belia Daerah Hulu Langat. Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesapan Kelubi, Beranang selama 15 tahun.

Selain itu, menjawat Setiausaha Tabung Khairat Kampung Sesapan Kelubi Beranang dari 2003 hingga kini. Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Surau Al-Falah dari 2014 hingga kini. Malah,beliau turut diberi kepercayaan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pelancongan (Kopel) Hulu Langat bagi 2018/2019.

Melihat kepada keaktifan dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau ialah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan unggul selain mesra rakyat dan mudah didampingi semua lapisan masyarakat.

Beliau juga berjaya memimpin keluarga sendiri jika diukur kejayaan tiga anaknya yang bergelar doktor perubatan dan doktor pergigian.

Jadi kerana kelebihan-kelebihan inilah, para pengundi perlu memilih Zakaria sebagai wakil rakyat mereka. Saya yakin Zakaria lebih menyerlah untuk memberi perkhidmatan terbaik buat seluruh rakyat di Semenyih.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN