Kementerian Kesihatan tiada kuasa buat keputusan - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan tiada kuasa buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 Mac – Keputusan sama ada sebuah hospital baharu akan dibina atau tidak untuk penduduk di Semenyih, Selangor bukan di bawah kuasa Kementerian Kesihatan sebaliknya tertakluk kepada keputusan akhir Kementerian Kewangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jika kerajaan mempunyai kemampuan kewangan untuk meluluskan hospital berkenaan beliau bersedia membantu dan mengalu-alukan sebanyak mungkin  fasiliti dibina bagi meningkatkan kesihatan rakyat.

“Bab meluluskan hospital ini bukannya bidang kuasa Menteri Kesihatan, ia akhirnya kepada kewangan (Kementerian Kewangan).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Akhirnya saya tak pastilah kepala siapa nak kena ketuk,” katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Onkologi dan Perubatan Fizik 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya  semalam yang mahu mengetuk kepala sesiapa yang bertanggungjawab sekiranya tidak menunaikan permintaan membina hospital baharu di Semenyih.

Sebelum ini, ketika diminta mengulas isu sama, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan belum melihat sebarang keperluan bagi pembinaan hospital itu dan tiada sebarang perbincangan dilakukan untuk menyediakan kemudahan hospital di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, adalah tidak wajar jika beliau seorang perlu bertanggungjawab mengenai isu pembinaan hospital kepada penduduk di Semenyih itu.

“Perlu ada kerjasama dan komitmen semua pihak, jangan saya sahaja kena dipertanggungjawab, akhirnya sebagai kerajaan kita semua kena bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, jika Dr. Mahathir sendiri yang memberi isyarat mengenai pembinaan hospital di Semenyih itu beliau yakin kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membangunkan kemudahan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN