Kemasan permukaan kuarza dan granit beri hasil lebih baik - Utusan Malaysia

Kemasan permukaan kuarza dan granit beri hasil lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan semua kemasan permukaan itu dijamin dari segi kualiti, biarpun diperbuat daripada bahan semula jadi seperti granit, marmar atau batu kapur.

Hal ini kerana kemasan daripada batuan asli itu mudah calar, retak, pecah dan pudar warnanya jika dimakan dek hari.

Bagi memastikan kemasan permukaan itu terpelihara kualitinya, ia memerlukan inovasi dari sudut teknologi serta penghasilannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bertitik-tolak daripada situ, kemasan permukaan yang memiliki fungsi yang pelbagai tidak mustahil untuk dihasilkan.

Berbekalkan kira-kira 40 tahun pengalaman dalam industri kemasan permukaan dan reka bentuk, Cosentino yang berpangkalan di Almeria, Sepanyol memiliki formulanya tersendiri.

Pengarah Cosentino Asia, Ross Cameron berkata, sepanjang menjuarai segmen itu dalam industri, pihaknya teruja untuk memberikan penyelesaian reka bentuk terbaik kepada para pelanggan mereka.

“Antara fungsi inovatif yang ditawarkan melalui tiga jenama kemasan permukaan kami iaitu Silestone, Dekton dan Sensa ialah tahan noda, hentaman, calar serta kadar penyerapan cecair yang rendah.

“Selain itu, bahan berkenaan yang dibangunkan secara eksklusif oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan Cosentino Group tahan lelasan, mempunyai tahap keporosan yang rendah, tidak telap air serta kalis sinar UV,” ujarnya ketika ditemui Infiniti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bahkan kata Cameron lagi, ia menjadikan bahan kemasan itu boleh digunakan dalam apa jua cuaca kerana ia tahan panas, kejutan terma termasuk kesan daripada pembekuan dan pencairan.

Ketiga-tiga jenama kemasan permukaan itu diperbuat daripada batuan semula jadi seperti kuarza dan granit.

Kuarza ialah mineral paling banyak terdapat di kerak Bumi yang tergolong dalam sistem hablur rombohedron heksagon.

Perlindungan tambahan

Granit pula batuan asli yang terbentuk di dalam tanah dan dibawa ke permukaan bumi dengan melalui proses peluluhawaan.

Bagi memberikan perlindungan tambahan kepada batuan semula jadi itu, rawatan istimewa seperti N-BOOST dan Senguard NK diperlukan pada bahagian permukaan.

Rawatan pada tahap molekul itu dilakukan semasa proses penghasilan kemasan permukaan bagi meningkatkan sifat teknikal material berkenaan.

Ia menjadikan kemasan permukaan Cosentino lebih mudah diselenggara, dijaga dan memiliki estetik serta warna yang menarik.

Selain itu, sifat batuan semula jadi itu seperti warna dan kualiti kemasan kekal utuh untuk jangka masa panjang sekali gus memberikan hasil terbaik.

Yakin terhadap inovasi kemasan permukaan itu, Cosentino turut memberikan jaminan sehingga lebih 15 tahun kepada para pelanggannya.

Sejajar dengan operasi perniagaan syarikat itu, Cosentino membuka sebuah pusat serba baharu iaitu Cosentino Centre di Malaysia.

Pusat yang mempunyai ruang pameran terbesar di Asia itu akan dibuka bermula April nanti.

Menurut Pengurus Besar Cosentino Malaysia, Mark Alban, pihaknya melihat Malaysia sebagai negara berpotensi besar untuk mengukuhkan jenamanya.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengedar yang telah bekerjasama dengan kami, memberikan sokongan dan membantu kami untuk berkembang dalam pasaran negara ini.

“Cosentino Malaysia berharap dapat terus memberi khidmat kepada para pelanggan dengan menawarkan permukaan berinovatif, bernilai tinggi serta berinspirasi untuk ruang kediaman, pejabat, restoran mahupun premis awam,” jelasnya.

Sebelum ini, Cosentino menyediakan khidmatnya dalam pasaran Malaysia menerusi pengedar pihak ketiga.

Setelah pusat baharu itu dibuka, ia pastinya berupaya memberi manfaat kepada para pereka, pengedar dan pelanggan tempatan.

Cawangan

Cosentino Group ialah sebuah syarikat global, milik keluarga yang mengeluar dan mengedarkan kemasan permukaan berinovatif yang bernilai tinggi untuk seni bina serta reka bentuk.

Kumpulan berkenaan membangunkan perniagaannya berdasarkan perkembangan di peringkat antarabangsa, program penyelidikan dan pembangunan berinovatif, menitikberatkan alam sekitar dan kelestarian serta komitmen korporat terhadap komuniti tempatan.

Ia kini mengedarkan produk serta jenamanya di lebih 110 buah negara, dari ibu pejabatnya di Almeria, Sepanyol.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini