Keistimewaan nasi talam ikan sungai - Utusan Malaysia

Keistimewaan nasi talam ikan sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sajian istana di zaman dahulu menjadi inspirasi buat Junaidah Hamid, 44, untuk membuka sebuah gerai makanan yang berkonsepkan makanan dalam talam seperti mana yang pernah menjadi hidangan kerabat diraja dahulu kala.

Ditambahkan lagi dengan konsep gerai dalam taman yang sekali gus menjadikan Gerai Teringat Lenggong di Lenggong Perak ini cukup nyaman dan pastinya pelanggan yang hadir akan merasa selesa ketika menjamu selera sama ada sendirian, berdua mahupun berkeluarga.

Bukan itu sahaja, beberapa buah pondok kecil yang dibina menghadap Tasik Raban di sini juga dapat menaikkan lagi selera pengunjung dengan duduk bersila sesuai sekali dengan cita rasa masakan tradisionalnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Junaidah, melalui cerita daripada neneknya, raja–raja di zaman dahulu menggemari makanan terutama masakan ikan sungai sehingga diadakan pertandingan memasak ikan sungai saban tahun. Seperti biasa rakyat yang mengambil bahagian akan menghidangkan pelbagai jenis masakan ikan sungai atas talam untuk dipersembahkan kepada raja.

Antara ikan sungai yang menjadi kegemaran raja ketika itu ialah ikan tengalan dan loma yang banyak terdapat di Sungai Perak. Dua spesies ikan tersebut memang sukar didapati di negeri lain.

“Dari situ saya mendapat idea untuk membuka gerai yang menyajikan makanan tradisional dalam talam atau nasi talam dengan mengekalkan resipi masakan tradisional nenek moyang,” ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bertempat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tasik Raban, Junaidah menyewa gerai majlis Daerah Lenggong berlatar belakangkan Tasik Raban yang menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancong untuk singgah ke gerainya.

“Semuanya diletakkan dalam satu talam dengan harga serendah RM20 sahaja untuk tiga hingga empat orang dewasa, tidak termasuk ayam goreng yang menjadi pilihan bagi mereka yang tidak makan ikan terutamanya kanak-kanak,” katanya lagi.

Katanya, dia mendapat bekalan ikan sungai ini daripada penduduk dan juga nelayan yang memukat ikan sungai sekitar Tasik Raban dan sepanjang Sungai Perak yang mana spesies ikan loma dan tengalan mudah didapati.

Menurut Juanaidah, selain makanan tradisionalnya yang menjadi tarikan, dekorasi gerainya juga menjadi daya penarik kerana suasananya yang redup dilindungi pokok-pokok di sekelilingnya.

“Dekorasi gerai saya ini berkonsepkan kayu, buluh, akar dan pokok. Meja dan kerusi diperbuat daripada kayu, akar pokok pula menghiasi siling manakala pokok-pokok mati diletakkan di tepi kedai serta sebuah bubu besar yang menjadi perhiasan menarik.

“Pengunjung boleh membuat pilihan sama ada menjamu selera seperti biasa di meja makan atau di pondok yang disediakan dengan bersila sambil menikmati angin dan pemandangan Tasik Raban. Untuk lebih klasik, saya menggunakan pinggan, mangkuk dan cawan yang berwarna putih dan berbunga merah,” katanya lagi.

Dalam pada itu Junaidah yang juga ahli Persatuan Komuniti Pelancongan A76 Lenggong berkata, untuk pergi ke gerainya pengunjung perlu melalui jalan Baling-Kuala Kangsar menuju ke Gerik. Tambahnya lagi, selepas melalui Jambatan Raja Muda Nazrin, pengunjung perlu memasuki simpang empat menuju ke Tasik Raban sebelum tiba di R&R Tasik Raban.

Orang ramai yang berhasrat berkunjung ke sini atau ingin membuat tempahan awal boleh berhubung dengan Junaidah di talian 013-3303450. Gerai ini beroperasi bermula pukul 11.30 pagi hingga 3.30 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini