Kedah perlu kerja keras pada pertemuan dengan Pahang. JDT - Utusan Malaysia

Kedah perlu kerja keras pada pertemuan dengan Pahang. JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Mac – Kedah perlu bekerja keras pada pertemuannya menentang Pahang dan JDT apabila tonggak utama pertahanan mereka, Renan Da Silva Alves tidak dapat diturunkan akibat dilayangkan kad merah ketika bertemu PKNS FC di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun pengendalinya Aidil Sharin Sahak yakin Kedah mampu memberi tentangan sengit, dengan melakukan beberapa percaturan semula pasukan dalam misi menguatkan pasukan.

“Renan perancang utama permainan, tapi dia tidak dapat bermain dalam dua perlawanan bertemu Pahang dan JDT selepas ini. Jadi saya kena rancang semula pemain, tanpa kehadiran Renan kerana kami sedar kami akan bermain tanpanya.

“Dalam masa ini saya perlu kembalikan keyakinan pemain, kembali berlatih dengan gigih, menyusun strategi kerana berhadapan Pahang bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Kedah akan menentang Pahang pada 8 Mac ini dan JDT pada penghujung Mac nanti.

Pada pertemuan dengan PKNS malam tadi, Renan diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob, kerana mengasari Muhammad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-86.

Dalam pada itu, Aidil Sharin berkata Kedah banyak mencipta peluang menjaringkan gol, terutama di separuh masa kedua namun nasib tidak menyebelahi pasukannya.

“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan, kerana kita lihat pemain bermain bermati-matian menyekat serangan pihak lawan dan mencipta beberapa peluang,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal berkata anak buahnya menunjukkan komitmen permainan yang cukup sempurna, apabila mampu menyekat kemaraan pasukan Kedah.

“Datang ke sini untuk dapat satu mata adalah baik, kita berjaya beri tekanan kepada Kedah dengan hantaran-hantaran pendek, walaupun babak pertama perlawanan adalah lebih baik, apa pun saya puji anak buah saya kerana satu mata cukup baik bermain di tempat lawan,” katanya.

Beliau mengharapkan pasukannya kekal dengan prestasi demikian dalam misi mengutip tiga mata bertemu Felda United di Stadium Shah Alam, 8 Mac ini.

Pada perlawanan malam tadi Kedah dan PKNS berkongsi satu mata, apabila kedua-dua pasukan itu tidak menjaringkan sebarang gol- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN