Karya pemenang HSKU Ke-33 membanggakan - Utusan Malaysia

Karya pemenang HSKU Ke-33 membanggakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Meneruskan tradisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), kualiti karya pemenang pada sesi ke-33 ini pastinya tidak mengecewakan.

Menurut Pengerusi Panel HSKU, Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, pihak panel yakin bahawa pemenang terpilih kali ini mempersembahkan karya yang tidak jauh berbeza mutunya dengan pemenang terdahulu.

“Karya pemenang kali ini berpotensi untuk memperluas ufuk pembacaan, dapat dimanfaatkan bagi tujuan pe­ngukuhan nilai, sebagai rujukan penelitian malah yang lebih penting amat berdaya saing untuk menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah menengah.

“Saya bagi mewakili barisan penilai menyatakan kebanggaan kami terhadap pencapaian karya pada tahun penilaian kali ini yang cukup menyerlah pada subjek ditawarkan penulis yang sangat rencam, kemas dan analitikal sifatnya,” katanya ketika me­nyampaikan Laporan Panel Penilai HSKU Ke-33 di Dewan Utusan di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Mohd. Hanafi lagi, karya-karya yang dipersembahkan kali ini turut mempunyai teknik persembahan pelbagai, penggunaan bahasa yang kemas dan memikat serta menitikberatkan aspek nilai dan muatan ilmu yang diterokai.

Dalam majlis itu, seramai 38 pemenang diumumkan, masing-masing dalam lapan hadi­ah kategori Cerpen Umum, Cerpen Remaja dan Puisi; enam hadiah kategori Cerpen Media Baharu; dua hadiah kategori Rencana Sastera serta enam hadiah kategori Novel Remaja.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Hanafi, proses penilaian yang dijalankan adalah unik kerana melibatkan beberapa persidangan dalam kalangan panel bertujuan untuk membaca, meneliti serta memperhalusi setiap karya.

Tidak cukup dengan itu, tambahnya, para panel turut berhujah sesama sendiri mempertahankan karya difikirkan layak untuk menang, menjadikan proses penilaiannya cukup adil dan saksama serta membuahkan keputusan yang betul-betul jitu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN