LONDON 1 Mac – Harry Kane tidak akan dikenakan sebarang tindakan susulan selepas dia terlibat dengan insiden pergaduhan bersama Cesar Azpilicueta yang menyaksikan Tottenham tewas 0-2 kepada Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Persatuan Bolasepak England (FA) memberitahu, pihaknya tidak akan menjalankan sebarang saisatan lanjut terhadap kapten England itu.
Kane yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan kecewa dengan aksi yang ditampilkan rakan sepasukannya terutama selepas Chelsea berjaya menyekat peluang Spurs untuk melakukan serangan.
Selepas perlawanan itu, Mark Clattenburg berkata, Kane bernasib baik kerana tidak dikenakan kad merah dan bertuah kerana tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Kelihatan seperti berlaku pergeseran, tidak kira sama ada serius atau tidak bersama Azpilicueta. Ia dilihat seperti Kane cuba menanduk Azpilicueta dan hukumannya tetap sama iaitu kad merah.
“Insiden itu bagaimanapun gagal dikesan pegawai perlawanan dan FA mungkin mengambil tindakan susulan terhadap Kane,” katanya.
Berdasarkan kepada maklumat terkini, insiden di antara Kane dan Azpilicueta berjaya dikesan pegawai perlawanan tetapi mereka memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan dan FA juga mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kes itu.
Kini, penyerang itu bebas daripada sebarang dakwaan dan ia bermaksud dia tidak akan dikenakan sebarang penggantungan.-AGENSI










