Kancah ekonomi, politik ancam Venezuela - Utusan Malaysia

Kancah ekonomi, politik ancam Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN segerombolan warga Venezuela itu bermula sebelum fajar menyingsing ketika ramai penduduk tempatan di bandar Pamplona, Colombia masih tidur.

Kanak-kanak, orang tua, guru, pekerja cari gali minyak dan penganggur kini dalam satu misi yang sama iaitu untuk melarikan diri dari negara mereka, Venezuela yang sedang bergejolak.

Seorang daripada pelarian itu, Yoxalida Pimentel yang berusia 20-an kehilangan bayi dalam kandungannya akibat perjalanan meredah hujan dan panas berhari-hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pimentel berkata, ibunya sudahpun terlebih dahulu meninggalkan negara itu dengan menumpang kenderaan orang ke Chile.

Pimentel yang gagal mendapatkan pekerjaan akhirnya turut melarikan diri dan meninggalkan tiga orang anaknya di Venezuela.

“Kerana keadaan terlalu mendesak, saya ambil keputusan untuk berjalan demi mencari pekerjaan di luar Venezuela supaya saya masih boleh menyara anak-anak saya di sana yang masih hidup,” katanya sambil menangis sehari selepas mengalami keguguran kepada The New York Times baru-baru ini.

Sebagai rekod, seramai tiga juta rakyat Venezuela meninggalkan negara itu sejak 2015 dan dijangka meningkat kepada 5.3 juta hujung tahun ini. Venezuela mempunyai populasi seramai 31 juta penduduk.

Kebanyakan pelarian itu menuju ke negara-negara jiran di selatannya seperti Colombia, Ecuador, Peru dan Chile. Tidak kurang 28,000 memfailkan suaka di Amerika Syarikat (AS). Namun, untuk lari ke kebanyakan negara di Amerika Selatan itu, majoritinya terpaksa melalui Colombia dengan perjalanan sejauh 200 kilometer membelah laluan di Pergunungan Andes.

Laporan voanews.com pula menyatakan kira-kira 5,000 orang meninggalkan Venezuela setiap hari. Kedatangan pelarian ini di negara-negara Amerika Selatan lain menyebabkan tekanan kepada perkhidmatan sosial seperti sekolah dan hospital, bahkan negeri Roraima di utara Brazil mengisytiharkan darurat pada 2017 selepas 30,000 pelarian Venezuela tiba di negeri itu.

Kecurian haiwan zoo

Anekdot yang turut menggambarkan krisis itu adalah apabila haiwan-haiwan di sebuah zoo di bandar Maracaibo berhampiran sempadan Colombia menjadi sasaran pencuri.

The Guardian melaporkan, pihak polis percaya kes-kes kecurian haiwan di bandar itu termasuk tapir dan kerbau mempunyai kaitan dengan krisis makanan yang kronik di negara itu. Haiwan lain yang turut menjadi mangsa untuk dimakan termasuklah collared peccary (haiwan seakan khinzir).

Bukan manusia sahaja yang kelaparan, malah haiwan-haiwan di dalam zoo turut mengalami kebuluran akibat krisis bekalan makanan tersebut.

Ada juga rakyat Venezuela yang terpaksa mengutip makanan dari tong sampah.

Felo Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Moises Rendon berkata, Venezuela mengalami krisis buatan manusia yang terburuk dalam sejarah negara itu.

“Ia tidak bermula sehari dua lalu, ia sebenarnya bermula bertahun-tahun dengan percubaan untuk menjadikan negara itu seperti Cuba atau Korea Utara. Jutaan rakyat mahu meninggalkan negara itu dan krisis pelarian ini akan memberi kesan kepada rantau Amerika Selatan,” ujarnya yang memberitahu, negara itu umpama zon perang apabila turut mengalami kekurangan bekalan ubat, peningkatan kadar jenayah, bekalan elektrik yang kerap terputus dan pecah masuk kedai.

Keadaan ini mendatangkan seribu tanda tanya kerana Venezuela merupakan negara yang mempunyai simpanan petroleum terbesar dunia mengikut data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pada tahun sama dengan jumlah simpanan sebanyak 300 bilion tong.

Justeru, bagaimana sebuah negara yang kaya dengan emas hitam itu boleh ditimpa krisis sedemikian buruk?

Bibit-bibit krisis bermula apabila bekalan wang kertas Venezuela dalam ekonomi melebihi permintaan untuk barangan dan perkhidmatan, menyebabkan nilai mata wangnya jatuh mendadak.

Mengikut langkah Zimbabwe, kerajaan Venezuela telah mencetak lebih banyak wang kertasnya kerana ia tidak mempunyai cara lain untuk membayar hutang negara itu. Ia sekali gus mengakibatkan hiperinflasi.

Hiperinflasi

Secara umum, hiperinflasi bermaksud peningkatan kadar inflasi secara mendadak dan berterusan. Harga barangan meningkat terlalu tinggi sehingga tidak mampu ditanggung oleh pembeli.

Laporan BBC pada Ogos lalu mendedahkan, harga meningkat sekali ganda setiap 26 hari secara purata, manakala kadar inflasi tahunan mencapai 83,000 peratus pada Julai lalu.

Sebagai contoh, secawan kopi di Venezuela berharga kira-kira Bs450 (50 sen) tiga tahun lalu, namun pada awal 2018, harga melonjak naik kepada Bs2,500,000 (RM3,100).

Ia merosakkan ekonomi apabila rakyat tidak lagi mempunyai kuasa beli dan menggalakkan peniaga untuk menyorokkan barangan kerana menunggu harga naik lebih tinggi.

Selain daripada pembayaran hutang yang tinggi, masalah Venezuela juga berpunca daripada perbelanjaan kerajaan yang tinggi.

Situasi berkenaan merupakan kesinambungan daripada program sosial yang dinamakan Misi Bolivarian yang dimulakan oleh presiden terdahulu, Hugo Chavez. Ia memberi manfaat kepada rakyat, namun menyebabkan tekanan pada ekonomi negara itu.

Ini menyebabkan negara itu gagal membuat simpanan untuk krisis-krisis pada masa depan.

Faktor lain termasuklah kebergantungan Venezuela terhadap petroleum yang juga satu-satunya komoditi negara itu. Kejatuhan harga petroleum mengakibatkan kehilangan pendapatan negara.

Krisis ekonomi itu kemudian melarat kepada krisis politik apabila pemerintahan sosialis ala revolusi presidennya, Nicolas Maduro kini dicabar oleh pemimpin pembangkang, Juan Guaido untuk meletak jawatan. Keadaan meruncing itu menarik perhatian kuasa-kuasa besar apabila AS dan sekutunya menyokong Guaido, manakala blok Rusia, India, China dan Turki menyokong Maduro.

Sementara itu, Felo Institut Adam Smith di London, United Kingdom, Tim Worstall berkata, krisis di Venezuela itu berlaku kerana kegagalan rejim Maduro untuk mengurus ekonomi dengan baik walaupun mempunyai sumber alam yang banyak.

“Ini bukanlah soal dasar sosialisme semata-mata, tetapi kaedah mereka menterjemahkan sosialisme itu.

“Mereka merasakan Venezuela tidak memerlukan sistem pasaran, jadi mereka menetapkan harga barangan sesuka hati yang mengakibatkan produktiviti dan pengedaran barangan negara itu runtuh,” katanya di laman Forbes.

Krisis politik dan ekonomi terburuk menghumban Venezuela ke ambang kehancuran dengan jutaan rakyatnya terpaksa menjadi pelarian ekoran kesengsaraan hidup apabila harga barang melambung tinggi misalnya secawan kopi berharga Bs2,500,000 (RM3,100).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN