GENEVA 11 Mac – Kira-kira dua juta kanak-kanak di Yemen tidak bersekolah ekoran konflik yang tercetus antara tentera pakatan diketuai Arab Saudi dengan pemberontak Houthi di negara tersebut.
Pengarah Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Asia Barat dan Afrika, Geert Cappelaere berkata, angka tersebut adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan, iaitu tujuh juta kanak-kanak di negara bergolak itu.
“Pendidikan di Yemen berdepan krisis apabila bangunan sekolah musnah serta kekurangan bahan-bahan pembelajaran akibat perang.

“Kebanyakan sekolah-sekolah di sini tidak selamat diduduki kerana rosak teruk, digunakan berperang atau didiami keluarga-keluarga yang terbiar,” katanya seperti dilaporkan Press TV.
Tindakan agresif dilakukan Arab Saudi turut mengancam nyawa kanak-kanak Yemen sejak 2015.
Bulan lepas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di bawah usia lima tahun di negara tersebut meninggal dunia akibat kebuluran semenjak Arab Saudi dan sekutunya melancarkan perang di negara itu.
“Perang yang berlaku bukan dicetuskan oleh kanak-kanak, namun mereka adalah golongan yang paling teruk menerima kesannya. Kira-kira 360,000 kanak-kanak di Yemen mengalami masalah kekurangan nutrisi yang teruk, berjuang untuk hidup setiap hari.
“Sumber boleh dipercayai memberitahu kira-kira 80,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati akibat kebuluran,” jelasnya.
Pada masa sama, Guterres memberi amaran tahap kesihatan dan kemanusiaan di Yemen dijangka akan menjadi lebih teruk.
“Separuh daripada kemudahan kesihatan di sini sudah tidak berfungsi manakala lebih 20 juta penduduk terputus bantuan kesihatan. Pada 2017, penduduk Yemen berdepan krisis kesihatan ekoran penularan wabak kolera yang diakibatkan oleh kekurangan sumber air bersih.
“Kira-kira 18 juta warga negara ini masih tidak mendapat sumber air bersih,” tambahnya.











