Imigresen tahan 630 warga asing di tapak pembinaan kilang bateri - Utusan Malaysia

Imigresen tahan 630 warga asing di tapak pembinaan kilang bateri

SEBAHAGIAN daripada 630 warga asing yang ditahan dalam Op Mega di Kulim semalam sebelum dikumpulkan di Dewan Utama KDN, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 630 warga asing dalam operasi besar-besaran di sebuah tapak pembinaan kilang bateri kereta di Padang Meha, Kulim, semalam.

Mereka terdiri daripada 396 warga China, Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang warga New Zealand dan Senegal.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan selepas penguatkuasa JIM memeriksa 697 individu dalam Ops Mega yang bermula kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara yang mencuri perhatian ialah penahanan warga Nigeria, Kenya, Ghana, Senegal dan New Zealand yang jarang ditemui bekerja di tapak pembinaan, selain seorang warga China yang memiliki pasport rasmi dan statusnya masih disiasat.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi itu membabitkan 159 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM, Pasukan Taktikal Khas (Pastak), serta JIM Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Ini merupakan jumlah tangkapan paling besar di satu lokasi dalam tempoh 10 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang disiasat adalah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas atau permit kerja.

Katanya, terdapat kes warga asing yang dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum bekerja di tapak pembinaan, manakala kesalahan lain termasuk bekerja di lokasi berbeza atau dengan majikan yang tidak dibenarkan.

“Setiap pasport dan dokumen yang dirampas perlu diperiksa secara teliti termasuk bagi mengesahkan ketulenannya sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Menurutnya, enam saman saksi dikeluarkan bagi membantu siasatan, termasuk terhadap majikan atau wakil syarikat yang berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.

Mengulas cabaran operasi, beliau berkata, sebahagian warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko termasuk menaiki bumbung bangunan belum siap, manakala tindakan provokasi sekumpulan individu turut mencetuskan ketegangan.

“Operasi di kawasan seluas hampir 500,000 meter persegi itu turut berdepan cabaran keselamatan apabila hujan menyebabkan laluan licin dan berlumpur, selain lubang lif, besi tetulang terdedah serta pergerakan jentera berat,” jelasnya.

Beliau berkata, tapak pembinaan kilang berkenaan pernah diserbu JIM tahun lalu dengan kira-kira 100 warga asing ditahan ketika pembinaan fasa pertama.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini