Kalah di Semenyih: Bersatu tidak panik - Utusan Malaysia

Kalah di Semenyih: Bersatu tidak panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 3 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak panik walaupun kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, parti seharusnya perlu meneruskan perjuangan dan jangan berputus asa walaupun gagal dalam mempertahankan kerusi tersebut.
 
“Negara mengamalkan demokrasi dan semalam menampakkan keputusan memihak kepada pembangkang. Namun, dengan kekalahan ini kita tahu perkara yang perlu ditambah baik untuk masyarakat terus menyokong kerajaan.
 
“Kita tidak perlu putus asa kerana Bersatu baru ditubuhkan tiga tahun dan berada dalam PH sembilan bulan,” katanya selepas merasmikan majlis Penutup Karnival Usahawan Muda Selangor 2019 di Stadium Malawati di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan menjelaskan, kerajaan kini dalam proses membangunkan apa yang dirosakkan dan ia bukan perkara mudah.
 
“Contohnya kalau kelulusan kontrak kita lihat ia bernilai RM40 bilion tetapi yang diluluskan ialah lebih RM50 bilion. Jadi kita lihat ada ketirisan dan dalam membaikinya mengambil masa, sekaligus menyebabkan kelewatan dalam memenuhi kehendak.
 
“Bagaimanapun, kini kita lihat ada penambahbaikan dan menunjukkan pembangunan ekonomi sedang meningkat. Tetapi, sekiranya dalam tiga atau empat tahun tidak betul boleh tukar kerajaan, tiada masalah,” ujarnya.
 
Sementara itu, mengulas mengenai kereta terbang, Mohd. Redzuan berkata, pihaknya mensasarkan kegunaan kenderaan itu adalah untuk pengangkutan awam dan industri seperti pertanian.
 
“Keutamaan adalah supaya kita tidak ketinggalan teknologi dan sekiranya digunakan untuk kegunaan perseorangan tidak sesuai kerana masyarakat kini belum boleh menerimanya.
“Selain itu, prototaip pembuatan kereta terbang untuk kegunaan industri akan menelan perbelanjaan kurang daripada RM1juta dan dijangka siap Jun ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN