Kaji semula kekalahan di Semenyih - Utusan Malaysia

Kaji semula kekalahan di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Mac – Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan proses pasca nilai atau post mortem bagi mengkaji kekalahan gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak menolak kerjasama antara UMNO-Pas menjadi faktor kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan.

“Sebelum ini apabila kita menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah kerana Pas dan UMNO tidak bersama justeru, mereka tidak berupaya mencapai angka yang bagus sehubungan itu kita menang.

“Namun begitu, sudah tentu rakyat berubah fikiran serta mempunyai pemikiran-pemikiran negatif dan wujud pihak-pihak yang secara tidak perlu melakukan provokasi untuk menaikkan kemarahan rakyat termasuk isu Nabi Muhammad SAW.

“Semua ini tidak menyumbang kepada penambahbaikan kepada negara ini. Kita harap kita tidak melakukan tindakan seumpama ini kerana ia akan membuat rakyat menjadi marah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Landskap Negara 2019 di sini hari ini.

BN menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi dalam PRK semalam.

Calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh sebanyak 19,780 undi sekali gus menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi

Ditanya adakah terdapat faktor selain kerjasama UMNO-Pas yang menyumbang kepada kemenangan itu termasuk kegagalan kerajaan menunaikan janji dalam masa singkat, Dr. Mahathir berkata, pihak kerajaan berhasrat menunaikan janji-janjinya tetapi ia tidak dapat dilakukan dalam satu malam.

Menurutnya, perkara itu mengambil masa yang panjang lebih-lebih lagi kerajaan masih lagi terbelenggu dengan permasalahan hutang lebih RM1 trilion.

“Duit yang sepatutnya kita gunakan untuk rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang. Baru-baru ini kita bayar cuma faedahnya sahaja RM200 juta. Setiap enam bulan perlu bayar RM200 juta kerana Datuk Seri Najib Tun Razak berhutang sehingga RM55 bilion.

“Jumlah RM55 bilion itu ceritanya adalah (pinjaman) hendak membuat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tetapi kita berbincang dengan kontraktor dari China ini bahawa daripada RM55 bilion turun RM20 bilion jadi tinggal RM35 bilion sahaja.

“Ini bermakna projek ini boleh dibuat dengan harga RM35 bilion tetapi kenapa kontrak ni sampai berharga RM55 bilion? Mungkin kerana hendak curi duitlah itu,” katanya.

Menjawab soalan adakah beliau bimbang dengan kerjasama UMNO-Pas, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua parti itu boleh bekerjasama dalam PRK kerana soal menang kalah tidak penting namun berbeza pada pilihan raya umum.

“Dalam pilihan raya umum mereka tidak boleh kerjasama kerana kalau kerjasama, Pas tidak dapat apa-apa,” katanya.

Ditanya adakah tindakan PH menyerang Pas sebelum ini menjadi sebab kekalahan gabungan itu di Semenyih, Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri memberitahu, pihaknya bercakap benar berhubung perkara-perkara tersebut.

“Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang datang jumpa saya mengatakan hendak menyokong saya. Dia kata ketua-ketua Pas tidak akan berkempen tetapi pada hari penamaan pun calon ketua-ketua Pas ada. Dia janji dengan saya ini apa dia?

“Lepas itu berkenaan dengan bayaran duit RM1.4 juta saman malu terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle- Brown dan selepas itu mendapati tidak dapat menang jadi hendak menyelesaikan dengan cara di luar mahkamah.

“Dan untuk ini orang Pas yang bayar duit dan kita ada bukti. Takkan kita hendak sembunyi? Kita ada bukti jelas,” katanya.

Ditanya mengenai pemilik akaun bernama ‘Rameli Musa’ dan kaitannya dengan kes tersebut, Dr. Mahathir percaya, Pas mempunyai individu-individu yang simpati terhadap parti itu dan sekiranya mempunyai permasalahan, golongan itu akan membantu.

“Kita tidak marah kepada Rameli tetapi kita marah dengan cara Pas membohong dan tidak cerita benda yang betul,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN