Jumpa mayat wanita : Polis siasat sebagai bunuh - Utusan Malaysia

Jumpa mayat wanita : Polis siasat sebagai bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mac – Penemuan mayat seorang wanita di sebuah lombong pasir di SKC Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dekat sini pada 28 Mac lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, laporan awal bedah siasat terhadap mayat dipercayai warga tempatan itu mendapati terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya.

Ujarnya, selain itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu juga dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari sebelum dia ditemukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan lanjut ke atasnya mendapati terdapat dua luka berlubang dan satu kesan hentakan di bahagian kepala.

“Dalam pada itu, tulang tengkorak mangsa juga didapati patah selain kesan cedera dikepala berkemungkinan akibat hentakan benda tumpul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bak Phai memberitahu, hasil laporan yang diterima juga mendapati terdapat kecederaan di dada sebelah kanan mangsa berkemungkinan telah digigit haiwan dan juga kesan lebam dijari tengah, tangan kiri dipercayai kesan pergelutan.

“Sehubungan itu, kes yang pada mulanya kita siasat sebagai mati mengejut kita akan buka semula siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dalam pada itu, kita juga telah mengambil cap jari mangsa untuk mengenal pasti identitinya sebelum tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Pada 29 Mac lalu, mayat wanita dewasa tanpa identiti ditemukan kira-kira pukul 2 petang oleh orang awam dalam keadaan tubuh badannya telah kembung di dalam lombong pasir berkenaan.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, mayat mangsa didapati tersangkut pada jeti kayu yang telah runtuh.

Siasasatan lanjut pihak polis juga mendapati mayat tersebut berkemungkinan telah hanyut dibawa oleh arus sungai.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini