KUALA LUMPUR 14 Mac – Prestasi jualan hartanah pada separuh kedua tahun lalu menyaksikan penurunan sebanyak lapan peratus dengan sebahagian besar hartanah yang terjual merupakan unit kediaman.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, berdasarkan kaji selidik industri hartanah yang dijalankan, sebanyak 5,066 buah unit hartanah terjual sepanjang Jun hingga Disember 2018 berbanding 6,510 buah pada separuh pertama 2018.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, hartanah jenis kondominum dan pangsapuri serta rumah teres dua hingga tiga tingkat mencatatkan penjualan tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 2,023 buah dan 1,793 buah.
“Kebanyakan unit kondominium dan pangsapuri yang terjual adalah di kawasan Bukit Kerinchi dan Cheras manakala Setia Alam dan Serendah merupakan lokasi popular bagi unit kediaman teres dua hingga tiga tingkat,” katanya pada sesi taklimat di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











