JAKARTA 21 Mac – Sindiran Jurucakap Badan Pemenangan Nasional (BPN) pasangan nombor dua, Andre Rosiade mengenai calon Presiden, Joko Widodo atau Jokowi tidak melawat Romahurmuziy alias Rommy di tahanan dipersoalkan hari ini.
News Detik melaporkan, Jurucakap Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma’ruf Amin, Lena Maryana Mukti berkata, beliau hairan dengan sindiran cuba dibangkitkan Andre tersebut meskipun berbeza situasi antara Jokowi dan calon Presiden, Prabowo Susianto.
Katanya, Andre membandingkan bahawa Prabowo telah melawat pemuzik kumpulan Dewa, Ahmad Dhani namun Jokowi pula tidak melawat Rommy.
“Andre faham atau tidak peranan seorang Presiden? Prabowo belum Presiden maka dia boleh buat apa sahaja dan orang tidak boleh menuduh dia cuba berbuat sesuatu untuk seseorang sedang menjalani proses hukuman.
“Sekiranya Jokowi melawat, sudah tentu dia boleh dituduh bermacam-macam. Jadi fahami dulu perkara ini sebelum mahu cuba sindir-sindiran,” katanya kepada wartawan hari ini.
Terdahulu, Andre menyatakan sokongan terhadap Jokowi-Ma’ruf akan menurun kerana kes rasuah Rommy disamping menyindir Jokowi tidak melawatnya dalam tahanan.











