KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita dipercayai ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sini.
Menurut pegawai JKM, wanita berkenaan dikenali sebagai Zuraida Zul berusia lingkungan 20-an telah menghilangkan diri sejak pertengahan tahun lalu dan kali terakhir dikesan di rumahnya di Pandan Jaya.
“Tujuan kita mengesan wanita berkenaan bagi mendapatkan kerjasama untuk membuat sijil lahir yang membolehkan anaknya disahkan taraf sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.
“Wanita berkenaan juga mempunyai isu dadah dan sudah beberapa kali ditahan atas masalah terbabit. Kita juga mendapati wanita berkenaan tidak berkemampuan menjaga anaknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambahnya, kanak-kanak malang berkenaan yang dikenali sebagai Fakhrul mempunyai pelbagai kompilasi penyakit seperti jantung tidak normal dan mempunyai satu paru-paru.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kanak-kanak tersebut pernah berada di Hospital Ampang hampir setahun atas faktor kesihatannya namun kini dijaga oleh keluarga angkat di bawah kelolaan JKM daerah Hulu Langat menerusi perintah mahkamah untuk sementara waktu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita berkenaan diminta menghubungi terus pihak JKM daerah Hulu Langat di talian 03-83738007,” jelasnya. – K! ONLINE











